AGENDA NASIONAL

Jho Low nampak terdesak elak cek Najib ‘ditendang’

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan yang sedang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low kelihatan terdesak untuk menghentikan cek bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari tiga akaun AmBank, daripada “ditendang”.

Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, memberikan kenyataan itu berdasarkan kepada beberapa beberapa perbualan menerusi BlackBerry Messenger (BBM) antara beliau dengan Jho Low, lelaki yang menegur beliau bagi memastikan cek yang diisu dari tiga akaun Najib tidak boleh ‘ditendang’.

Akaun-akaun berkenaan, tiap satu dengan nama kod tertentu, yang terdiri daripada Y1MY bagi akaun yang nombornya berakhir dengan angka 808, dan MY yang berakhir dengan angka 906, disahkan oleh saksi pendakwaan ke-54 itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh di hari ke-44 perbicaraan Najib terhadap tujuh pertuduhan salah guna dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Pada 21 January 2014, Jho Low menghantar pesanan kepada anda “Bagaimana harus kita salurkan wang ke dalam akaun Y1MY?” dan anda menjawab “Sudah minta cawangan supaya jangan tolak cek” di mana ahli perniagaan itu pula menjawab “Ya, tolong jangan tolak cek”.

Yu: Ya.

Harvinderjit: Pada 30 Jun 2014, teks dari Jho Low berbunyi “Pastikan cek tidak ditendang” dan anda menjawab “Sudah minta cawangan, mungkin perlu tunggu sehingga 11.30 pagi” dan dalam satu lagi pesanan, dia menghantar teks “Tolong luluskan cek, jangan tolak ia walau apa pun” dan anda menjawab “Sudah minta cawangan tunggu selama yang boleh”.

Harvinderjit: Kemudian pada hari yang sama dia menghantar pesanan, “Aiyoh, jangan tolaklah, Nanti sebentar dahulu”. Semuanya berlaku (di hari yang sama).

Yu: Ya.

Harvinderjit: Ada unsur kecewa dalam pesanan ini?

Yu: Saya beritahu dia, waktu terakhir ialah 5.30 petang.

Harvinderjit: (Jho Low nampak) amat terdesak?

Yu: Saya percaya begitulah.

Pada satu ketika berdasarkan perbualan BBM yang dibacakan di mahkamah oleh Harvinderjit, Jho Low turut mengingatkan Yu supaya memberitahu bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Ashok Ramamurthy, bahawa “Cek MNR tidak boleh ditendang”. MNR digunakan oleh Jho Low bagi merujuk kepada Mohd Najib Razak.

Terdahulu mahkamah diberitahu bagaimana akaun Najib sering ‘terlebih pengeluaran’ sehingga sering memaksa Yu menghubungi Jho Lo atau pemegang mandat akaun Nik Faisal Ariff Kamil bagi menyelesaikan isu itu.

Yu berkata, Jho Low turut mengarahkan beliau supaya memusnahkan buku cek Najib bagi akaun 2013, di mana saksi itu tidak melakukannya.

Harvinderjit: Jho Low minta anda memusnahkan buku cek lama, tapi anda tidak melakukannya?

Yu: Biasanya ia akan dihantar balik ke cawangan untuk menyemak duti stem yang tertera di mukasurat yang tinggal.

Harvinderjit: Kenapa anda tidak musnahkannya?

Yu: Ia bukan cek saya.

Harvinderjit: Kenapa anda tidak beritahu dia “kita tidak boleh musnahkannya”?

Yu: Selepas menutup mana-mana akaun, menjadi amalan biasa bagi kami untuk menghantar buku cek itu balik ke cawangan.

Perbicaraan di hadapa Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Rabu. – BERNAMA


Pengarang :