Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr. Mariah Mahmud (tengah) bersama pelajar Sk Puchong Utama melihat jentik – jentik ketika Program Mega Cari dan Musnah AEDES Negeri Selangor peringkat MPSJ di Pangsapuri Puchong Utama Court.
BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri pertimbang tingkat jumlah kompaun denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 14 JULAI : Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk mengubah polisi jumlah kompaun kepada pemilik premis dan badan pengurusan bersama (JMB) sekiranya kes denggi tetap meningkat.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, inisiatif itu diharap dapat mendidik rakyat supaya lebih bertanggungjawab.

Katanya, Kerajaan Negeri termasuk pihak berkuasa tempatan sudah melakukan segala usaha untuk mengurangkan kes denggi di Selangor, namun ia tetap meningkat.

“Jika kes denggi di negeri ini tetap meningkat, kita akan meneruskan cadangan mengubah polisi dengan meningkatkan jumlah kompaun. Namun kita akan melihat kepada jumlah kes serta saman yang sudah dikeluarkan di negeri ini terlebih dahulu.

“Kerajaan Negeri bukan sengaja mahu menyaman namun kes ini memberi kesan kepada orang lain akibat kecuaian segelintir pihak yang tidak mengendahkan kawasan mereka sehingga menjadi sarang Aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Pelancaran Program Mega Cari dan Musnah Aedes Selangor peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2019, di Puchong Utama Court 2, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali dan Ahli Majlis Zon 15 MPSJ, Datuk Kamaruzaman Ibrahim.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk ‘name and shame’ jabatan atau agensi Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan kepada umum sekiranya didapati kawasan mereka dikesan menjadi tempat pembawaan denggi.

Katanya, inisiatif itu supaya dapat memberikan kesedaran kepada segelintir pihak supaya lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran mereka.

Beliau berkata, berdasarkan rekod sehingga 6 Julai lalu, sebanyak 37,263 kes positif denggi direkodkan dan daerah Petaling mencatatkan jumlah yang tertinggi diikuti Hulu Langat, Gombak dan Klang.

“Oleh itu, Program Mega Cari dan Musnah Aedes Selangor adalah kaedah praktikal dalam mendidik masyarakat supaya dapat meneruskan usaha untuk mencegah denggi melalui aktiviti gotong royong secara kerap,” katanya.


Pengarang :