Selangorkini
NASIONAL

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan kebenaran merayu Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 1 JUL: Permohonan semakan kehakiman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencabar kesahan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berakhir hari ini setelah Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk kebenaran membuat rayuan.

Keputusan mahkamah itu bermakna Dr Mahathir tidak boleh meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Rohana Yusuf yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata tiada isu lagi mengenai pelantikan kedua-dua hakim utama itu setelah Mahkamah Persekutuan telah memutuskan dalam kes Badan Peguam Malaysia.

Beliau berkata mahkamah berpendapat tiada alasan untuk tidak mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Badan Peguam Malaysia itu.

Dua lagi hakim ialah Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Tan Sri Idrus Harun.

Pada 24 September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menolak untuk merujuk empat persoalan perlembagaan berhubung kesahan pelantikan Raus dan Zulkefli dalam kes yang difailkan oleh Badan Peguam Malaysia dan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) selepas memutuskan bahawa isu itu adalah bersifat akademik memandangkan kedua-dua hakim itu telah melepaskan jawatan mereka pada Julai tahun lepas.

Badan Peguam Malaysia dan AAS mempersoalkan sama ada pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan pada 2017 mengikut perlembagaan. Mereka dilantik sebagai hakim tambahan selepas mencapai umur persaraan mandatori mengikut perlembagaan pada usia 66 tahun enam bulan, sebelum mereka memegang semula jawatan utama.

Sementara itu, dalam kes Dr Mahathir, beliau memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan kedua-dua hakim itu.

Bagaimanapun, permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi pada 16 November, 2017 dan oleh Mahkamah Rayuan ada 25 Februari tahun ini.

Dalam prosiding hari ini, peguam Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata perdana menteri berhasrat untuk meneruskan rayuan atas persoalan undang-undang untuk panduan masa depan kepada eksekutif mengenai perlembagaan bagi pelantikan sedemikian.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching memohon mahkamah menolak permohonan kebenaran untuk merayu itu kerana perkara itu telah menjadi akademik memandangkan kedua-dua hakim tidak lagi memegang jawatan berkenaan. – BERNAMA


Pengarang :