NASIONAL

MFL umum EVC rakan kongsi hak penyiaran Liga M

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JUL: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan kemasukan rakan kongsi baharu Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia bermula musim 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, penstrukturan semula hak penyiaran adalah salah satu anjakan paradigma yang mampu menjadi perintis kepada industri penyiaran serta mencetuskan satu revolusi industri bola sepak tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Inilah cetusan idea Pengerusi MFL, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail yang mahu menyaksikan penyokong memainkan peranan penting menjana pendapatan pasukan. Ini kerana DYAM Tunku Ismail menaruh kepercayaan tinggi kepada penyokong untuk sama-sama memajukan Liga Malaysia.

“Kini, MFL bukan sahaja bertindak sebagai pengendali Liga Malaysia sebaliknya MFL juga memainkan peranan sebagai penyiar rasmi bola sepak tempatan bersama EVC dalam memastikan liputan meluas bola sepak terus kepada penyokong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Group of Companies, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, di Hotel Thistle, Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu, penstrukturan semula Liga Malaysia menyaksikan hak penyiaran secara terus kepada pengguna khususnya penyokong bola sepak tempatan.

Kevin berkata, berbeza dengan sebelum ini, hak penyiaran Liga Malaysia dipegang oleh syarikat-syarikat korporat dan stesen televisyen tempatan.

“Bermula musim hadapan, MFL tidak lagi bergantung kepada syarikat penyiar bagi mendapatkan dana pembayaran hak penyiaran kepada setiap pasukan bertanding.

“Sebaliknya, penyokong bakal memainkan peranan penting untuk menjana pendapatan pasukan dengan melanggan aplikasi yang bakal diperkenalkan oleh EVC dalam masa terdekat,” katanya.

Menerusi landasan yang disediakan itu, penyokong dapat menonton siaran langsung perlawanan Liga Super, Liga Premier, Liga M3, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Challenge Cup.

Mengikut perancangan, MFL ingin menjemput persatuan sukan-sukan lain untuk turut bersama dalam landasan yang disediakan bagi menjana pendapatan hak penyiaran mereka.


Pengarang :