SELANGOR

Nasib mangsa kebakaran dapat perhatian LZS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

CHERAS, 10 JULAI: Nasib malang sebuah keluarga dari Kampung Sungai Raya, Batu 9, di sini yang tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dijilat api, Sabtu lalu, mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Jurucakap LZS memaklumkan, wakilnya menziarahi mangsa terbabit dan menyalurkan bantuan kewangan kepada pemilik rumah, Juliah Hazlin bagi meringankan beban ditanggung keluarga berkenaan yang kini terpaksa tinggal di lokasi lain buat sementara waktu.

Katanya, penyerahan sumbangan itu turut disertai Penghulu Mukim Cheras serta Pengerusi Majlis Perwakilan Ketua Kampung (MPKK) Kampung Sungai Raya, Nor Lisman Abu.

“Alhamdulillah buat masa ini keluarga Juliah ditempatkan di kediaman sewa tidak jauh dari rumah kediamannya yang hangus dijilat api untuk keluarga ini berteduh.

“Kerjasama yang sangat baik disumbangkan pelbagai pihak khususnya melalui Pengerusi MPKK Kampung Sungai Raya sedikit sebanyak dapat menenangkan trauma dihadapi keluarga mangsa akibat daripada musibah menimpanya,” katanya dalam kenyataan.

LZS berkata, tragedi yang berlaku kira-kira 8.45 pagi itu menyebabkan lebih 90 peratus struktur rumah mangsa hangus terbakar.

Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian kebakaran berkenaan.

“Dalam pada itu, pihak bomba masih dalam siasatan forensik bagi mengenalpasti punca kebakaran,” katanya.

Difahamkan, rumah teres satu tingkat itu didiami 13 individu terdiri daripada ahli keluarga Juliah.


Pengarang :