AGENDAGLOBAL

Penyelidikan: Bacaan digital jejas konsentrasi, kesabaran

OSLO, 20 JULAI: Penyelidikan di Norway baru-baru ini menunjukkan pembacaan dari skrin telefon bimbit dan komputer mempunyai kesan negatif terhadap konsentrasi dan kesabaran, lapor agensi berita China Xinhua memetik stesen penyiar awam NRK, pada Jumaat.

Marte Blikstad-Balas, profesor di Universiti Oslo, mengkaji Hubung Kait Arahan dan Pencapaian Pelajar (LISA) serta meneliti hubungan antara pengajaran dan pencapaian bagi subjek matematik dalam kalangan pelajar gred 8 di Norway.

“Para guru perlu sedar bahawa ia mungkin lebih sukar untuk pelajar membaca teks yang lebih panjang berbanding 20 tahun lalu,” kata Blikstad-Balas kepada NRK.

Blikstad-Balas menjelaskan otak terbiasa membaca teks di skrin, di mana banyak gangguan boleh mengganggu pembacaan.

Gambar adalah antara contohnya, kata beliau.

“Kita mentafsirkan huruf seperti dahulu namun situasi pembacaan kita adalah berbeza. Kita membaca teks yang lebih pendek dan menjadi tidak sabar.”

Menurut Blikstad-Balas, membaca dari skrin juga boleh menjejaskan memori kita.

“Ia digelar ‘kesan Google’. Kita tahu adalah mudah untuk mencari maklumat secara online, jadi kita tidak perlu ingat semua yang kita baca,” katanya.

Anne Mangen, penyelidik dari Universiti Stavanger, juga menyatakan lebih mudah untuk mengingati peristiwa dari sebuah buku yang wujud secara fizikal.

“Ia adalah lebih mudah untuk memahami teks kerana anda memegang buku yang wujud secara fizikal, dan anda boleh meletakkan peristiwa itu di halaman berbeza. Anda tidak boleh berbuat demikian jika anda membaca dari skrin,” kata Mangen kepada NRK.

Laporan itu memetik statistik dari Persatuan Penerbit Norway yang menunjukkan bahawa rakyat negara berkenaan membeli lebih sedikit analog dan buku fizikal, sebaliknya memilih buku elektronik dan buku audio.

-BERNAMA


Pengarang :