BUDAYARENCANA

Macaca Nemestrina

Oleh Naziah Naziri

“KAMU, kecewa?”

“Ya! Kamu pengkhianat!”

Galeri khas telah dibina. Untuk masuk, tuan sediakan semua kemudahan. Pengembaraan mengambil masa lima jam. Kereta kabel akan membawa kita meneroka ke zaman yang diingini. Ada butang khas pada paparan skrin kereta kabel. Cermin mata berbingkai bulat sama seperti cermin mata 3D digunakan sepanjang pengembaraan.

Sejenis kapas khas akan dicucuk ke lubang telinga bagi membolehkan kita mendengar bunyi-bunyian persekitaran galeri. Sedikit cecair kuning disapu ke hidung supaya kita boleh menghidu bau ketika pengembaraan. Hebat bukan?

Sepanjang pengembaraan, ada sarung tangan khas bagi membolehkan kita sentuh apa sahaja dalam galeri. Sarung tangan putih dan nipis persis kain sutera.

Ada CCTV tercanggih di dunia merakam sehalus-halus hama sehingga sebesar-besar Boeing 737. Sebab itulah pengunjung ke galeri harus mematuhi peraturan sebelum dibenarkan masuk. Gambar yang di-zoom CCTV diakses terus kepada tuan. Maknanya, pengembaraan kita akan dipantau oleh tuan.

Tuan kata, perlu ada galeri khas sebagai bukti keberadaan Tuan Macaca Nemestrina dalam sejarah negara. Ini viral dalam media sosial sekarang. Teruja dan ingin tahu mendorong saya melihat sendiri.

Selamat Datang Ke Galeri Macaca Nemestrina.

Ada ketulan sebesar penumbuk dalam senduk kuning keemasan. Emas tulen. Senduk itu bertatah batu permata. Pemegangnya diukir dengan seni klasik peribumi.

Ketulan boleh disentuh dan dihidu. Ia dipamerkan sebagai bukti kehadiran wira masyarakat tempatan. Ketulan buangan Tuan Macaca.

Tuan Macaca dianggap wira negara. Dialah yang menyelamatkan negara ini dari terus dijajah. Bukan sedikit sumbangan Tuan Macaca sehingga negara merdeka.

Ketulan dalam senduk emas terbentuk cantik. Berkeluk dan bertingkat-tingkat. Tingkat dasar berwarna kuning keemasan, di tengah-tengah hijau lumut dan yang paling muncung sekali berwarna-warni seperti pelangi. Ini membuat warga maya terpukau. Saya juga terpukau. Luar biasa.

Buangan Tuan Macaca merupakan pameran pertama yang kita jumpa. Saya sentuh dengan sarung tangan khas. Memang benar bila disentuh ketulan itu seperti agar-agar dan tidak mengubah warna pelangi di muncung ketulan tersebut. Bau wangi bunga sungguh semerbak.

Kenapa buangan Tuan Macaca diletak di tempat terlalu istimewa? Emosi saya sedikit terganggu.  Bukankah galeri ini dirasmikan oleh pembesar negara. Kebanyakan yang hadir ialah ilmuwan. Kekadang yang indah boleh membutakan mata. Kenapa mereka alpa? Atau diam lebih menguntungkan dari memikirkan benda yang remeh-temeh. Saya tidak anggap benda ini remeh. Sumpah.

Bahan buangan tuan diangkat ke aras paling tinggi. Najis Tuan Macaca! Hati saya mula galau.

Kereta kabel meluncur perlahan. Seperti berada dalam gua. Gelap. Saya dibawa ke zaman Tuan Macaca. Negara ini terletak di garisan Khatatulistiwa. Menghadap Laut China Selatan dan membelakangi Laut Jawa.

Tuan Macaca diceritakan sebagai raja yang mengubah landskap negara. Negara ini diserah kepada tuan sebagai balasan kerana berjaya mengekang pemberontakan. Pemberontak digelar sebagai perompak laut. Mereka ditangkap dan dibunuh.

Perang di sebuah muara sungai divisualkan. Terdapat dua kapal besar menunggu di dua muara. Saya nampak dengan jelas Kapal I menunggu di muara. Sebuah lagi Kapal II yang diketuai nakhoda bermata biru juga di muara sebatang sungai.

Berlaku pertempuran sengit. Letupan senapang dan meriam seiring laungan peribumi yang melawan. Peribumi yang digelar perompak laut tidak mudah menyerah. Mereka melawan penuh semangat. Berdayung tangkas dan berani. Dengan bersemangat, mereka menyerang dengan parang.

Sungguh jelas visual beratus-ratus perahu peribumi di muara sungai. Namun kekuatan kumpulan Tuan Macaca tidak dapat dipertikai. Mereka ada kelebihan dari segi pengalaman dan peralatan perang. Kapal II melanggar perahu peribumi agar perahu mereka lalu terbalik dan karam.

Dayung besar menunggu untuk menghentam orang yang terkapar. Dihentak sekuat hati tanpa simpati.  Darah memercik. Pertempuran yang dahsyat menyebabkan ramai peribumi mati. Mayat bergelimpangan. Tuan sangat gembira. Visual terpapar jelas senyum lebar tuan.

Marah saya membuak-buak.

Wajah yang terdampar di muara seperti wajah saya.  Sah itu saya. Saya nampak dengan jelas mereka menghayun sekuat tenaga dan menghentak dayung tepat di kepala saya. Rakan-rakan saya ramai terkorban. Air sungai bertukar merah. Kami dilabel pemberontak, lanun maka harus dibunuh.

Sempat saya melihat beberapa perahu meloloskan diri. Sesampai di tebing mereka terus menuju ke hutan. Peluang ini digunakan Tuan Macaca untuk mengisytiharkan kemenangan.

Bunyi hingar-bingar tadi tiba-tiba senyap. Saya berasa seperti jantung disiat-siat. Hati berasa sakit. Jiwa seakan-akan terbakar. Saya ingin mengulang semula visual dua minit tadi.

Saya mencari jalan keluar. Tidak sanggup rasanya melihat pembohongan. Sejarah diterbalikkan. Saya tidak berhajat meneruskan perjalanan. Saya mencari arahan pada paparan skrin kereta kabel.

Saya rasa tertipu. Saya buka sarung tangan. Kembali ke tempat ketulan tadi. Saya sentuh semula. Sistem penggera segera berbunyi. Sangat nyaring. Saya mengesat cecair di hidung. Bau busuk menusuk hidung. Sangat busuk sehingga saya termuntah.

Persekitaran galeri berbau. Seperti ada beribu-ribu bangkai kembung dan berulat. Itu yang saya bayangkan. Saya tekap hidung dan mulut dengan tuala kecil. Bau busuk sangat menyucuk. Saya muntah kali kedua.

Sarung tangan dan cecair hanya penipuan.  Perlahan-lahan saya tarik kapas dari lubang telinga.  Bunyi hutan basah khatulistiwa bertukar menjadi hingar-bingar. Jeritan dan pekikan orang utan, monyet dan kera memenuhi galeri. Bingit. Saya tidak mampu bertahan walau sesaat sehingga terpaksa menyumbat semula kapas ke telinga.

Tiba-tiba lampu galeri dinyalakan. Cermin mata saya ditanggalkan. Pelik. Sebenarnya galeri hanya kubu lama yang dibina beratus-ratus tahun. Simen kubu keras dan kotor berdebu. Teknologi yang ada telah menterbalikkan dunia. Semuanya ilusi. Betapa mudahnya kita tertipu pada abad ini. Orang yang benar-benar berjuang digelar pendusta sedangkan pengkhianat dipuja sebagai pembela bangsa.

“Pemberontak di Platform 2.”

Penggera berbunyi serta-merta. Pengawal keselamatan bersenjata menggari saya. Saya dipaksa masuk ke sebuah bilik.

“Awak pembunuh!”

Tidak lama kemudian, datang seorang lelaki menyuruh pengawal tadi keluar. Suhu di bilik tidak bertingkap sungguh sejuk. Saya menggigil tetapi jiwa saya terbakar.

“Awak bunuh saudara Tuan Macaca!”

Saya tidak bersalah. Ini negara saya. Jangan sesekali tuan hina negara saya. Waima gadaikan nyawa, saya sanggup. Itu isyarat kepada tuan bahawa bangsa kami pantang dicabar. Kami mahu merdeka.

Lihat kampung kami, mundur. Rumah beratap daun nipah, berdinding kayu nipis. Jalan tanah kuning becak. Anak yang ke sekolah boleh dihitung dengan jari. Anak orang kampung dibiar tanpa pendidikan. Bila mereka tidak berilmu, senang untuk tuan terus berkuasa. Itu strategi tuan. Saya boleh baca pemikiran tuan.

Ngah Ramli tidak memaksa saya untuk melakukan pengorbanan ini. Ini tulus dari hati saya sendiri  seperti bidalan lama: Asam payak buah limau.

Semakin erat badik pusaka dalam genggaman saya. Saya meluru ke arah Tuan Macaca dan badik itu bermandi darah.

Gempar.

II

Satu batu di dalam botol bila dikocak, bunyi tidak begitu meriah. Harus tambah dua atau tiga batu. Semakin banyak batu, semakin nyaringlah kocakan. Semakin dilaga-laga semakin bersemangat bunyinya. Tuan Macaca suka bunyian itu.

Tangan tuan terus memainkan peranan. Secalit najis Tuan Macaca diletak ke dalam botol bagi membolehkan batu yang berlaga terpalit sekali dengan najis Tuan Macaca.

Keluar dari galeri, saya pening dan mual.

“Kamu kecewa?”

“Ya! Kamu pengkhianat!”

Tangan saya berlumuran darah. Gempar. Galeri yang berada di garisan Khatatulistiwa itu terus menjadi tumpuan dunia.

 


Pengarang :