AGENDA JENAYAH

Polis nafi muat naik laporan kes rogol babitkan EXCO di Facebook

IPOH, 30 JUL : Polis Perak menafikan status yang dimuat naik dalam facebook kononnya laporan perubatan dan laporan forensik oleh Jabatan Kimia berhubung kes seorang Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang dikaitan dengan tuduhan merogol seorang pembantu rumahnya awal bulan ini telah hilang.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain menegaskan, sebenarnya pihak polis masih menunggu laporan tersebut dan kedua-dua dokumen itu tidak hilang.

Katanya tindakan pemilik Facebook 1 Malaysia Tolak DAP yang memuat naik status kononnya laporan forensik kes itu telah hilang adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

Katanya status tersebut turut memuat naik kenyataan Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie yang mendesak polis Perak memberi penjelasan.

Menurut Razarudin, kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut merupakan satu fitnah yang mampu mencabar kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan siasatan dengan telus dan teliti.

Sehubungan itu, katanya satu laporan polis telah dibuat oleh polis Perak hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“PDRM menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan polis serta menidakkan ketelusan, keadilan dan nama baik PDRM terutama PDRM Perak,” tegasnya.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru.

Sehari selepas laporan dibuat, polis Perak telah menahan Exco berkenaan yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan selesai dalam tempoh 24 jam. -BERNAMA


Pengarang :