NASIONAL

Polis rampas dadah hampir RM2 juta, lapan individu ditangkap

 

KUALA LUMPUR, 4 JUL : Polis menahan lapan individu termasuk tiga warga Iran yang disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dadah serta merampas dadah bernilai hampir RM2 juta di ibu negara pada Selasa lepas.

Dalam operasi bermula 1.05 petang itu, kesemua suspek berusia 22 hingga 57 tahun ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul.

Mengulas serbuan pertama di sebuah kondominium di Jalan P. Ramlee di sini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan bersama dua wanita warga Vietnam.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas dadah disyaki jenis heroin dengan anggaran berat 1,050 gram (1.05 kg), ketamin (17.32 kg) dan methamphetamine (3.04 kg).

“Soal siasat mendapati mereka ini mendapat bekalan dadah daripada lelaki warga Iran,” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Bertindak atas maklumat itu, Mazlan berkata pihaknya menahan tiga lelaki warga Iran di sebuah kondominium di Jalan Delima di sini pada 5.30 petang yang dipercayai dijadikan tempat memproses dadah.

“Polis merampas dua tong plastik yang disyaki cecair methamphetamine dengan anggaran berat 29,895 gram (29.895 kg) dan dadah jenis methamphetamine (580 gram).

“Mereka yang ditahan dipercayai mempunyai kepakaran dan formula memproses dadah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang warga Iran yang ditahan berada di negara ini sejak empat tahun lepas.

“Dua lagi suspek pula berada dalam negara sejak empat bulan serta lima hari sebelum ditahan dan mereka masuk sebagai pelancong,” katanya.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati enam suspek didapati positif dadah methamphethamine.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-BERNAMA


Pengarang :