foto BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BUDAYARENCANA

Proses pelantikan Agong yang perlu kita tahu

Hari ini satu lagi sejarah baru tercatat buat negara dan seluruh rakyat apabila Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-16 di Istana Negara pagi tadi.

Namun sebelum berlangsungnya upacara pertabalan penuh istiadat itu, pelantikan baginda perlu melalui beberapa proses seperti yang ditetapkan oleh Majlis Raja-Raja.

Sempena istiadat pertabalan ini, SelangorKini kongsikan beberapa proses menarik ini untuk pengetahuan bersama.

Langkah awal sebelum pemilihan

Langkah pertama, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mendapatkan perkenan tarikh Mesyuarat Pemilihan sekiranya terdapat kekosongan berlaku kepada jawatan Yang Dipertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja juga akan menyembah syarat kepada setiap raja bagi memohon perkenan sama ada baginda berhasrat dicalonkan untuk dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong dan Timbalan Yang Dipertuan Agong.

Kelayakan

Terdapat beberapa ciri kelayakan yang perlu dipenuhi bagi seseorang raja untuk dipilih Majlis Raja-Raja sebagai Yang Dipertuan Agong.

Antara ciri kelayakan itu adalah, hanya raja-raja sahaja yang boleh dipilih selepas raja terbabit memberi perkenan untuk dipilih dan undian juga dibuat oleh raja-raja sahaja manakala Yang Dipertua Negeri (Melaka, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak) tidak terlibat dalam proses ini.

Pada asalnya, raja paling kanan dari segi pemerintahan hendaklah dipilih di mana peraturan ini tidak lagi digunapakai selepas semua raja telah dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong.

Pusingan pertama ini berakhir selepas DYMM Paduka Seri Sultan Perak dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong kesembilan.

Selepas itu, senarai baru yang dikenali sebagai senarai yang disusun semula dan diguna pakai sekarang adalah berpandukan kepada kekananan negeri yang rajanya telah dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong (Yang Dipertuan Agong Pertama hingga Kesembilan) mengikut Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Raja-raja yang tidak berhasrat dipilih hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa itu.

Yang tidak layak dipilih

Perlembagaan memperuntukkan bahawa seorang raja tidak layak dipilih sekiranya belum dewasa atau raja itu memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa baginda tidak berhasrat dipilih atau Majlis Raja-raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi-fungsi Yang Dipertuan Agong disebabkan kelemahan akal atau tubuhnya atau kerana apa-apa sebab lain di mana ketetapan ini memerlukan undian sekurang-kurangnya lima orang Raja.

Prosiding Pemilihan

Pemilihan dibuat secara undi sulit dan Kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat yang sama sebelum dimasukkan dalam peti undi.

Kertas undi juga dimusnahkan di hadapan raja-raja sebaik sahaja keputusan undian diumumkan sama ada dibakar atau dirincih.

Raja paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang Dipertuan Agong dan Timbalan Yang DiPertuan Agong dipilih untuk mengira kertas undi bersama Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Dalam Mesyuarat Pemilihan itu, hanya raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja sahaja yang terlibat dalam proses pemilihan.

Semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membekalkan satu kertas undi kepada setiap raja dan setiap raja diminta menandakan pendapatnya sama ada raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai/tidak sesuai dipilih sebagai Yang Dipertuan Agong.

Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang Dipertuan Agong kepada baginda.

Jika raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun raja itu gagal memperolehi undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama raja kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.

Proses hanya selesai apabila baginda menerima tawaran jawatan Yang Dipertuan Agong sebelum Majlis mengisytiharkan baginda sebagai Yang Dipertuan agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.

Selepas tamat urusan pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan menghantar surat mengesahkan keputusan pemilihan itu kepada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.

Perdana Menteri kemudiannya mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai keputusan pemilihan jawatan Yang Dipertuan Agong dan Timbalan Yang Dipertuan Agong.

Yang Dipertuan Agong dan Timbalan Yang Dipertuan Agong hanya boleh menjalankan fungsi rasmi selepas baginda menandatangani sumpah jawatan dalam satu istiadat di hadapan Majlis Raja-Raja dan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan dengan ditandatangani saksi oleh dua orang raja yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai saksi-saksi.

* Sumber: Laman Sesawang Rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja


Pengarang :