SELANGOR

Setahun derita masalah pernafasan, LZS hulur bantuan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 JULAI: Penderitaan dialami seorang bayi yang hanya dikenali sebagai Shakeela mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

LZS dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, bayi malang itu sudah hampir setahun ditahan di wad ekoran masalah pernafasan sehingga memaksa ibunya berhenti kerja, manakala bapanya pula hanya bekerja sambilan dengan gaji kecil.

“Pasangan itu juga mempunyai dua lagi anak yang perlu diberi perhatian, namun agak sedih kerana simpanan mereka sudah kehabisan.

“Buat sementara waktu, LZS difahamkan keluarga itu terpaksa menumpang teduh di rumah ibunya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Agihan LZS Gombak, Abdul Razak Razali ketika melawat keluarga berkenaan berkata, mereka layak didaftarkan sebagai asnaf miskin akibat kesempitan hidup dialami.

“Alhamdulillah, anak kecil ini dibenarkan pulang ke rumah, namun bagi meneruskan kehidupan tanpa simpanan dan wang bukanlah perjalanan mudah.

“LZS segera menyalurkan bantuan RM500 untuk meringankan kehidupan mereka,” katanya.

Pada masa sama, katanya, LZS turut mempertimbangkan untuk memberi bantuan perubatan dan sewa rumah.


Pengarang :