NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini ekoran aktiviti pengambilan untung selepas indeks utama ditutup hampir pada paras tertinggi dalam tempoh empat bulan semalam.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.43 mata kepada 1,688.57 daripada 1,691.0 semasa ditutup pada Selasa.

Pada pembukaan, indeks susut 1.75 mata kepada 1,689.25.

Bagaimanapun, suasana pasaran positif dengan 117 kaunter untung mengatasi 90 kaunter rugi, manakala 187 kaunter tidak berubah, 1,446 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 151.14 juta unit bernilai RM45.89 juta.

Dari segi teknikal, Malacca Securities dalam nota berkata paras 1,700 merupakan paras halangan utama, diikuti paras 1,706 manakala paras sokongan pada 1,690 dan 1,683.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing merosot dua sen kepada RM8.96 dan RM22.98, CIMB susut satu sen kepada RM5.43 manakala IHH dan Axiata, masing-masing tidak berubah pada RM5.84 dan RM5.20.

Daripada saham aktif, Sumatec menambah satu sen kepada dua sen, Sapura Energy naik setengah sen, Mestron tidak berubah pada 16 sen, manakala KNM mendatar dan warannya naik setengah sen kepada 13.5 sen.

BAT mendahului senarai kaunter paling rugi, susut 38 sen kepada RM28.56, diikuti Hong Leong Bank, merosot 18 sen kepada RM18.96, Tenaga dan MAHB, masing-masing berkurangan lapan sen kepada RM14.14 dan 8.55, dan Petronas Chemicals turun empat sen kepada RM8.61.

Indeks FBM Emas merosot 10.70 mata kepada 11,930.06, Indeks FBMT 100 berkurangan 11.61 mata kepada 11,772.46 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 2.52 mata kepada 12,316.24.

FBM 70, bagaimanapun, naik 6.79 mata kepada 14,883.93 dan FBM Ace meningkat 0.95 mata kepada 4,523.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 33.30 mata kepada 16,816.01 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.23 mata kepada 162.78.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan naik 9.85 mata kepada 6,950.72.

Sementara itu, pada pembukaan, MCOM yang mula disenaraikan di Pasaran LEAP meningkat tiga sen kepada 31 sen daripada harga terbitan 28 sen, dengan 10,000 saham bertukar tangan.

MCOM adalah syarikat penerima pelaburan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) yang menyediakan penyelesaian pemasaran digital. Ia khusus dalam platform pengiklanan mudah alih dan penyelesaian pembayaran mudah alih.

-BERNAMA


Pengarang :