AGENDANASIONAL

Terima pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) atas kapasiti MB

SHAH ALAM, 30 JULAI: Pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) yang diberikan kepada Amirudin Shari adalah atas kapasitinya sebagai Dato’ Menteri Besar.

Amirudin yang ditemui di Dewan Annex, di sini memaklumkan penganugerahan itu juga atas kapasitinya sebagai penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Selangor (JAKPAW).

“Tiada apa-apa isu. Bukan saya yang mohon, pada asalnya ia disarankan panglima Briged ke-11 dan Angkatan Tentera Malaysia.

“Bagi pihak saya, saya tidak ada kekangan apa-apa kerana ia turut diusulkan menteri pertahanan,” katanya kepada pemberita.

Pada 23 Julai lalu, Kementerian Pertahanan menganugerahkan pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) Askar Wataniah kepada Amirudin dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari atas kapasiti mereka sebagai penaung JAKPAW di negeri masing-masing.

Mohamad Sabu menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tauliah Kehormat Askar Wataniah di Wisma Pertahanan kepada kedua dua pemimpin negeri itu, baru-baru ini.

Sebelum ini, Mohamad pernah menegaskan beliau akan memastikan tiada pemberian sebarang pangkat kehormat tentera kepada ahli politik atau orang awam dan ia dilaporkan semua media tempatan.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, pelantikan Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Melaka sebagai Penaung JAKPAW di peringkat negeri diperkenankan melalui kelulusan Majlis Angkatan Tentera Ke-575, berkuat kuasa pada 24 Mei 2019.

Malah katanya, penaung JAKPAW di setiap negeri adalah Menteri Besar atau Ketua Menteri yang dilantik melalui kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dengan diperuntukkan pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat).


Pengarang :