AGENDANASIONAL

75 peratus kebakaran hutan di Gelang Patah dipadam

JOHOR BAHRU, 28 OGOS: Sebanyak 75 peratus daripada 16 hektar hutan yang terbakar di Jalan Tanjung Kupang, dekat Gelang Patah, telah berjaya dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, setakat ini.

Ketua Zon 1 JBPM Johor, Mohamad Faizul Selamat berkata, operasi yang masuk hari kelapan itu, melibatkan seramai 140 anggota dan 30 aset JBPM selain dibantu pelbagai agensi lain.

“Setakat pukul 3 petang tadi, kita berjaya memadam 75 peratus kebakaran. Angin yang kuat pada hari ini juga agak menyukarkan operasi.

“Cuaca agak mendung awal pagi tadi, tapi hujan tidak turun. Jika turun, mungkin ia boleh membantu operasi pemadaman hari ini ” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Mohamad Faizul berkata, operasi pemadaman dilakukan tanpa henti selama 24 jam semenjak 21 Ogos lepas.

Menurutnya, pihak bomba juga meneruskan teknik “banjir sepenuhnya” dan semburan langsung serta ‘fire break’ iaitu mewujudkan parit berair bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain.

– BERNAMA


Pengarang :