SHAH ALAM 09 OGOS 2019. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Turut berangkat sama Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Agong, Sultan Selangor solat Jumaat di Masjid Negeri

SHAH ALAM, 9 OGOS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk menunaikan solat fardhu Jumaat hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda pada pukul 1 petang disambut Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut menyambut ketibaan baginda, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Dato’ Mufti Selangor, Dato’ Seri Utama Mohd Tamyes Abd Wahid

Baginda kemudian bersalaman dengan barisan kepimpinan kerajaan, Ahli Dewan Negeri (ADN) dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.

Khutbah Jumaat bertajuk ‘Raja Berdaulat Sejahtera Rakyat’ yang dibacakan oleh Imam Besar, Muhammad Farhan Wijaya hari ini mengingatkan jemaah supaya memberikan taat dan setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan negara.

Dalam khutbah tersebut juga, semua rakyat diingatkan supaya sentiasa bersikap baik sangka, hormat menghormati sama ada melalui pertuturan atau perbuatan bagi menjamin kesejahteraan ummah.

“Sesungguhnya hubungan erat antara raja dan rakyat, atau pemimpin dengan yang dipimpin bukanlah sesuatu yang luar biasa. Malah ia merupakan amalan yang sudah sekian lama berlanhgsung, sama ada dalam tradisi kepimpinan Islam atau dalam Kesultanan Melayu dahulu. Oleh itu, budaya ini sewajarnya terus diamalkan dan dipertahankan demi memulihara agama, bangsa dan negara.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah ketika pertabalan baginda baru-baru ini supaya semua pihak jangan sekali-kali mencetuskan api permusuhan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuhkan keharmonian negara.

“Gejala fitnah yang membawa perbalahan akan menjadi bertambah buruk sekiranya tidak dibendung dan dikawal boleh membangkitkan keresahan di kalangan masyarakat dan menimbulkan perpecahan. Amalan buruk ini termasuk salah satu daripada perbuatan dosa besar yang akan mendapat ancaman seksa yang berat di hari akhirat kelak,” katanya.


Pengarang :