Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek cuba melukis mural pada dinding Pangsapuri Angsana ketika Majlis Pelancaran Projek Merdeka Mural Pangsapuri Angsana dan SJ ‘Riverfront’ USJ 1, Subang Jaya. Foto Facebook/KPKT MALAYSIA
PBTSELANGOR

Projek mural Pangsapuri Angsana dapat sentuhan The Art Market

SUBANG, 9 OGOS: Seramai 10 artis dari ‘The Art Market’ Malaysia bakal bergabung tenaga menyiapkan lukisan mural di atas 100 dinding dalam Projek Merdeka Mural Pangsapuri Angsana.

Projek yang dianggarkan bernilai RM150,000 itu juga mampu menjadi pemangkin perubahan sikap masyarakat supaya lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan dan menghargai harta awam.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, projek ini mampu menjadi daya tarikan yang unik.

“Lukisan tiga dimensi misalnya mampu menjadi daya tarikan termasuk pelancong dan bagi pasangan pengantin yang ingin mengadakan sesi fotografi.

“Ini usaha yang baik oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan wajar dicontohi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Projek Merdeka Mural Pangsapuri Angsana dan SJ ‘Riverfront’ USJ 1, Subang Jaya di sini, hari ini.

Katanya, projek ini merupakan sebahagian usaha membangunkan komuniti secara inklusif bagi mencapai kesejahteraan hidup dan pembangunan mampan.

Program yang dilaksanakan di blok D dan F yang dijangka mengambil masa selewat-lewatnya tiga bulan untuk disiapkan itu merupakan projek kolaborasi strategik antara MPSJ, Persatuan Penduduk Zon 4 MPSJ, The Art Market Malaysia dan komuniti setempat.

Pelbagai tema termasuk berkaitan kemerdekaan akan diterapkan dalam lukisan mural itu nanti.

Sementara itu pada sidang media di program sama, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, selain 10 pelukis yang diketuai pelukis, Ibnoo Jalil, penduduk juga diseru mengambil bahagian dalam projek terbabit.

“Walaupun projek ini menggunakan pelukis profesional tetapi penduduk boleh terlibat sama seperti membersihkan dinding dan membantu pelukis mengecat warna asas seperti dikehendaki,” katanya.


Pengarang :