EXCOSELANGOR

Bagan Hailam perintis program nafas baru kampung bagan

PELABUHAN KLANG, 24 OGOS: Bagan Hailam dijadikan projek perintis kampung atas air yang akan diberikan nafas baru menerusi program ‘Breath New Life’ di 10 buah kampung bagan seluruh Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, projek berkenaan sebagai usaha mengindahkan kawasan, sekali gus menjadikan kampung atas air itu sebagai tarikan pelancongan.

“Projek yang memberi nafas baharu kepada penduduk sekitar ini adalah inisiatif menghidupkan semula suasana harmoni dan bersih ia dapat dijadikan destinasi pelancongan.

“Kerajaan Negeri melalui inisiatif ini juga akan memberi pendidikan dan kesedaran kepada penduduk supaya tidak membuang sampah ke dalam laut.

“Ia bertujuan memupuk kesedaran supaya dapat menjaga kebersihan kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program ‘Breath New Life To Bagan Hailam, di Kampung Bagan Hailam, di sini.

Sze Han berkata, beberapa siri program kesedaran akan diadakan sebelum menyediakan ruangan awam yang boleh dijadikan kawasan bersantai oleh penduduk dan pengunjung.

“Ini projek perintis, kita jadikan kampung ini model kepada kampung bagan yang lain dan mengubah tabiat mereka membuang sampah dari membuang sampah dari bawah rumah ke tempat sepatutnya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, projek pembersihan dan program kesedaran di Pulau Ketam setakat ini berjaya mencapai objektif.

“Projek yang sudah dijalankan beberapa tahun lalu, berjaya melihat keberkesanannya walaupun belum di tahap 100 peratus, namun penduduk di kawasan itu dapat menerima budaya baharu iaitu tidak membuang sampah ke bawah rumah mereka,” katanya

Terdahulu, lebih 100 orang penduduk bersama kakitangan KDEB Waste Management (KDEBWM), Majlis Perbandaran Klang dan agensi kerajaan bergotong-royong membersihkan penempatan kampung atas air Kampung Bagan Hailam, di sini.


Pengarang :