Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi & Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian diiringi Yang Dipertua Kajang, Dato’ Rosli Othman dan Ahli Majlis Zon 10, Sharifah Norhayati Syed Omar meletakkan sisa tin dalam tong yang disediakan sebagai simbolik Pengasingan Sisa dan Kitar Semula ‘Go Green With 3R’ dalam Program Kitar Semula (3R) 2019 Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Saujana Impian, Kajang. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor negeri pertama tukar sampah kepada tenaga

KAJANG, 24 OGOS: Selangor mengorak langkah menjadi negeri pertama menukarkan sampah kepada tenaga melalui Projek ‘Waste-To-Energy’ (WTE) yang dijangkakan bermula hujung tahun ini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, projek mengikut piawaian Eropah dan mendapat kerjasama China itu akan bermula di Jeram dan juga Kuala Langat.

Katanya, pada masa sama, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan turut membina projek yang sama di Serendah, Selangor.

Hee Loy Sian bersama Dato’ Rosli Othman (kanan) mencuba kaedah penyediaan baja kompos sisa organik selepas merasmikan Program Kitar Semula (3R) 2019 Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Saujana Impian, Kajang. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Selepas wujudnya WTE ini, Selangor mungkin tidak lagi akan menggunakan tapak pelupusan sampah sedia ada kerana ia hanya mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar.

“Kerajaan Negeri mendapati walaupun tapak pelupusan sampah tidak digunakan, namun bahan kimia atau cairan hasil daripada sampah akan mengalir kepada sumber air bawah tanah kemudiannya membawa kepada punca pencemaran, oleh sebab itulah kita mahu wujudkan WTE ini.

“Sehingga kini sistem yang sama sudah digunakan Singapura dan Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Pengasingan Sisa dan Kitar Semula ‘Go Green With 3R’ Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Taman Impian Setia Kajang, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPKj, Dato’ Rosli Othman, Ahli Majlis MPP Zon 10 MPKj, Sharifah Norhayati Syed Omar, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPKj, Mohd Izuddin Ramli dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Impian Setia Saujana Impian (PERKIS) Mohamad Norwafi Sahroni.

Pada program sama, sebanyak tiga tong kitar semula dengan kapasiti 660 liter diserahkan kepada PERKIS.

Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri sudahpun meluluskan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi pembangunan Projek WTE dan akan dikendalikan Worldwide Holdings Berhad.

Katanya, WTE bakal menjadi sebahagian daripada Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu atau ‘Integrated Solid Waste Management Center (ISWMC)’ sebagai satu kaedah pengurusan sisa yang holistik untuk rawatan sisa pepejal.


Pengarang :