Kaedah pembayaran caj parkir berbayar menggunakan Touch n Go semakin meluas. Foto Teuku Emiraldi /Youtube
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bayar parkir guna TnG, mudah atau beban?

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 OGOS: Sedar atau tidak? Jika anda pernah masuk ke kawasan parkir berbayar menggunakan kaedah pembayaran kad Touch n Go (TnG), caj lebih mahal dikenakan ke atas anda berbanding bayaran menggunakan tiket secara manual.

Mungkin ada diantara kita yang terlepas pandang. Tetapi itulah yang berlaku. Anda dikenakan caj tambahan 10 peratus dan tentunya ia bukan jumlah yang kecil.

Mengapa perkara ini berlaku sedangkan Malaysia ketika ini sedang menuju ke arah masyarakat tanpa tunai (cashless society)?.

Penggunaan wang tunai semakin hari semakin jauh meninggalkan kita. Kini, kita juga semakin jarang ke ATM mengeluarkan wang tunai.

Di pasar malam, transaksi tanpa tunai sudah diperkenalkan. Malah, kawasan Kuala Kubu Bharu menjadi perintis dalam pelaksanaan transaksi pembayaran tanpa tunai di daerah Hulu Selangor melalui aplikasi e-dompet dan boosts oleh Kerajaan Selangor.

Namun, adakah kerajaan boleh memastikan penggunaan transaksi tanpa tunai ini tiada caj tersembunyi oleh mana-mana pihak berkepentingan? Adakah caj ini tidak membebankan pengguna?

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, penggunaan kaedah ini sepatutnya memudahkan pengguna dan tidak perlu beratur panjang untuk membayar caj parkir.

Sebaliknya, katanya, ia menjadi beban tambahan kepada pengguna apabila kadar bayaran parkir itu menjadi lebih mahal.

“Pengguna menjadi sukar. Ada sesetengah tempat parkir tiada tunai dan hanya menggunakan kaedah bayaran TnG.

“Sudahlah bila tambah nilai, caj RM0.50 dikenakan, pergi parkir juga ada caj.Ini akan membebankan pengguna apabila pelbagai caj dikenakan,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Yusof berkata, pengguna yang bijak tentunya akan memilih kaedah pembayaran lebih murah dan menjimatkan.

Malah, katanya, jika berlarutan pastinya inisiatif masyarakat tanpa tunai tidak akan berjaya direalisasikan.

“Hasrat menggunakan kad TnG ini untuk mengurangkan kos operasi dari segi tenaga kerja dan cetakan kertas tetapi sebaliknya berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Yusof menyarankan kerajaan memantau dan mewujudkan dasar penyelia perkhidmatan ini daripada terus membebankan pengguna.

“Ketika ini, TnG juga memonopoli penggunaan kad seperti ini, jika kerajaan mengawal dan mewujudkan inisiatif lain selain TnG perkara sedemikian boleh diatasi,” katanya.


Pengarang :