AGENDANASIONAL

Bilangan pekerja OKU masih rendah

SEREMBAN, 17 OGOS: Bilangan pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini masih rendah iaitu sekitar 0.31 peratus, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon.

Beliau berkata di Negeri Sembilan, bancian oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati hanya 99 orang OKU bertugas sebagai penjawat awam dan daripada jumlah itu, 73 orang adalah lantikan persekutuan, manakala 26 orang lantikan negeri.

“Oleh itu, saya menyeru agar semua agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memastikan dasar pengambilan 1 peratus OKU di sektor awam dapat dipatuhi,” katanya ketika merasmikan Karnival Pekerjaan Bagi OKU Negeri Sembilan 2019 anjuran JKM Negeri Sembilan dan Pusat Jobs Malaysia Negeri Sembilan di sini, hari ini.

“Saya juga berharap perkara yang sama dapat dilaksanakan di sektor swasta. Memberi peluang pekerjaan dan kepercayaan kepada golongan OKU merupakan satu sumbangan yang amat besar maknanya terhadap kehidupan OKU.

Karnival Pekerjaan Bagi OKU yang diadakan hari ini merupakan salah satu contoh terbaik penglibatan antara agensi dan sektor swasta dalam pembangunan OKU di negeri ini.

Beliau berkata, golongan OKU adalah sebahagian daripada penduduk dunia dan mereka harus menikmati kehidupan yang sama seperti orang upaya atas dasar hak kesaksamaan.

Justeru, Malaysia telah meratifikasikan Konvensyen Hak untuk OKU (Convention of the Right for Persons with Disabilities” (CRPD) pada 19 Julai 2010 sebagai komitmen untuk menjamin golongan OKU menikmati peluang yang setara dengan orang upaya dalam semua aspek kehidupan, meliputi aksesibiliti, mobiliti, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, pemulihan dan penyertaan dalam bidang politik, ekonomi dan sosio budaya.

“Bagi membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, sejajar dengan usaha untuk membela hak dan kesejahteraan hidup OKU, Malaysia juga telah menerima pakai “Incheon Strategy to Make the Right Real’ for Persons with Disabilities in Asia and the Pacific” pada 2012.

Nicole berkata mengikut statistik, jumlah OKU berdaftar dengan JKM Negeri Sembilan adalah seramai 23,846 orang dan untuk tahun ini setakat Julai, JKM telah meluluskan 1,382 pendaftaran baharu.

“Usaha untuk meningkatkan pendaftaran ini akan diteruskan melalui kempen pendaftaran OKU yang dilaksanakan sepanjang tahun,” katanya.

Sebanyak 17 majikan mengambil bahagian dalam karnival itu yang menawarkan 800 pekerjaan kepada golongan OKU.

-BERNAMA


Pengarang :