AGENDAGLOBAL

China henti beli produk pertanian AS

ANKARA, 6 OGOS: Kementerian Perdagangan China pada Isnin lalu mengesahkan bahwa syarikat-syarikat China telah berhenti membeli produk pertanian Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif baharu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan kementerian itu.

Langkah itu dibuat selepas Trump mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas import China bernilai US$300 bilion mulai 1 September.

“Ini adalah satu pencabulan serius terhadap mesyuarat antara ketua-ketua negara China dan Amerika Syarikat,” menurut kenyataan kementerian itu.

Ia turut menyatakan bahawa ia tidak akan “menolak” tarif ke atas produk pertanian AS yang baharu dibeli selepas 3 Ogos.

Duti import baharu sebanyak 10 peratus akan ditambah kepada tarif 25 peratus yang telah dikenakan AS ke atas produk China bernilai US$250 bilion.

Perang perdagangan yang sedang berlaku antara dua ekonomi utama dunia tersebut telah menyebabkan kejutan di pasaran global manakala perjanjian perdagangan masih sukar dicapai.

– BERNAMA


Pengarang :