AGENSISELANGOR

Laksana pemeriksaan terperinci di PPR

SHAH ALAM, 6 OGOS: Pusat Sumber Memajukan Masyarakat dan Perumahan (REACH) mahu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak hanya memberi penekanan kepada masalah lif di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) tetapi juga aspek lain.

Ketua Penyelerasnya, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, perkara itu kerana kebanyakan PPR sudah dibina melebihi 20 tahun.

Katanya, pemeriksaan terperinci perlu dilakukan kerajaan untuk memastikan PPR masih selamat didiami.

“REACH mengalu-alukan pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa membabitkan semua pihak bagi mencari satu mekanisme untuk mengurangkan insiden berkaitan lif di negara ini.

“Lif memang aspek utama perlu diberi perhatian tetapi terdapat aspek lain yang juga perlu diambil berat. Bagaimanapun kami berharap KPKT tidak hanya memberi penekanan kepada lif tetapi turut menekankan aspek lain,” katanya kepada SelangorKini.

Iskandar berkata, antara aspek perlu diberi perhatian adalah pendawaian elektrik, tembok batu dan ‘railings’ yang tidak lagi kukuh serta kepingan bumbung usang.

Katanya, pendawaian elektrik yang usang boleh mengakibatkan litar pintas dan kebakaran serta perlu diperiksa untuk menentukan sama ada ia masih selamat atau tidak.

“Manakala, tembok dan ‘railings’ terutamanya di koridor mestilah disahkan masih kukuh. Tembok usang boleh runtuh bila-bila masa, begitu juga ‘railings’ yang teruk berkarat boleh tertanggal. Ia amat merbahaya kepada sesiapa yang bersandar kepada tembok terutamanya kanak-kanak.

“Mereka berkemungkinan akan terjatuh dan jika dari tingkat tinggi boleh mengakibatkan kecederaan parah malah kematian,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kepingan penutup bumbung seperti genting konkrit, kepingan logam atau kepingan gentian simen (cement fibre) yang reput, pecah atau usang boleh mengakibatkan kebocoran ketika hujan.

Iskandar berkata, air yang memasuki kediaman mungkin tidak merbahaya tetapi ia boleh menyebabkan litar pintas dan mengakibatkan kebakaran atau boleh mengalirkan arus elektrik yang menjadi punca kepada renjatan elektrik.

“Oleh itu, kami berharap KPKT dan Kerajaan Negeri akan bekerjasama melaksanakan pemeriksaan terperinci (audit) yang menyeluruh agar keselamatan penduduk adalah terjamin,” katanya.


Pengarang :