EXCO SELANGOR

EXCO: Tingkat minat pelajar dalami ilmu sains, teknologi inovasi

SHAH ALAM, 3 OGOS: Inisiatif menarik lebih ramai pelajar mendalami ilmu sains, teknologi dan inovasi (STI) wajar dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam menjadikan Selangor sebuah negeri berprestasi tinggi.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, pihaknya khuatir dengan kadar penurunan pelajar yang mengambil aliran sains tulen di sekola setakat ini.

“Kita perlu lahirkan pakar sains dan jurutera serta matematik tetapi malangnya tahap pengambilan pelajar terhadap bidang ini amat berkurang.

“Hanya 40 peratus pelajar mengambil aliran sains tulen dan ini memang berbeza dengan sasaran kita untuk mencapai 60 peratus pelajar yang mengambil aliran berkenaan.

“Sebaliknya, mereka lebih berminat kepada aliran seni dan sastera,” katanya ketika ditemui SelangorKini pada program Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Selangor, di Pustaka Raja Tun Uda, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin; Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Ir Dr Sanjayan Velautham dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad.

Pada masa sama, katanya, sains dan teknologi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian memandangkan setiap pergerakan dilakukan boleh diterjemah dalam konteks sains serta teknologi.

“Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) meletakkan cabaran hebat kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan kita melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital ini untuk kekal berdaya saing sama ada dalam atau luar negara.

“Selain itu, cabaran IR4.0 menuntut pembaharuan dan penemuan pelbagai teknologi dalam bidang seperti robotik automasi, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI), realiti maya serta realiti bertambah, sekali gus mengekalkan kelangsungan hidup selain menyemarakkan keamanan,” katanya.


Pengarang :