BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

RMS rasmi SIIAF 2019, sasar kehadiran 10,000 pengunjung

SHAH ALAM, 3 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat merasmikan Festival Kesenian Pribumi Antarabangsa Selangor (SIIAF) 2019 di Taman Botani Negara, Shah Alam, hari ini.

Dengan tema ‘Terokai Khazanah Warisan Negeri Selangor’, festival anjuran Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor dengan usahasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ini disertai 130 kaum Pribumi tempatan dan antarabangsa.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan kemasukan 7.9 juta pelancong ke Selangor pada 2020.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama antara peserta Selangor International Indigenous Art Festival di Taman Botani, Shah Alam. – Foto Hafiz Othman

“Statistik kemasukan pelancong ke Selangor pada 2018 adalah 7.23 juta dari dalam dan luar negara.

“Pada tahun ini, kita mensasarkan 7.7 juta dan seterusnya 7.9 juta pelancong pada 2020.

“Dengan adanya kempen promosi pelancongan di peringkat negeri seperti Kempen Discover Selangor, #TakeMeAnywhere dan Kempen Visit Malaysia 2020, kita harapkan sasaran ini dapat dicapai dan mampu meningkatkan ekonomi serta industri pelancongan di Malaysia khususnya Selangor,” katanya.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan melawat ke gerai jualan ketika Selangor International Indigenous Art Festival di Taman Botani, Shah Alam. – Foto Hafiz Othman

Menurutnya, penganjuran kali ini yang menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung adalah salah satu inisiatif mengetengah dan memelihara kaum Pribumi di Selangor yang masih mengekalkan ciri-ciri kesenian dan kebudayaan asli mereka walaupun di era teknologi moden.

Beliau berkata, ia juga menjadi medan terbaik menjenamakan Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan berasaskan kebudayaan pilihan pelancong dari dalam atau luar negara.

Antara negara yang mengambil bahagian adalah Afrika, Korea Selatan, Chinese Taipei, Indonesia dan Sri Lanka.

Persembahan tarian dari Orang Asal Mahmeri, Pulau Carey ketika Selangor International Indigenous Art Festival di Taman Botani, Shah Alam. – Foto Hafiz Othman

Tidak ketinggalan penyertaan Kaum Mah Meri dan Temuan (Selangor), Kaum Temiar (Perak), Kaum Seletar (Johor) serta Rantau Lemamang Dance Group (Sarawak).

Edisi kelima SIIAF 2019 ini berlangsung dua hari bersempena Hari Antarabangsa Pribumi Dunia yang diraikan pada bulan Ogos setiap tahun.

Ia antara lain turut memperkenalkan Recreational Orang Asal Run (ROAR) 2019 dengan lebih 600 penyertaan dan bakal berlangsung esok, 4 Ogos.

Jumlah peserta larian dijangka bertambah sekiranya ia diteruskan untuk tahun-tahun akan datang.


Pengarang :