Amirudin Shari beramah mesra bersama kakitangan Surau Al – Hidayah ketika Program Sumbangan Lembu Korban, di sini. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Galak budaya memberi, bantu insan memerlukan

GOMBAK, 11 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan budaya memberi bagi membantu sesama insan, terutama golongan memerlukan.

Katanya, beliau percaya dalam rezeki seseorang itu terdapat juga rezeki orang lain, malahan ganjaran pahala yang bakal diterima juga adalah berbaloi.

“Melalui program yang dilaksanakan hari ini, kita amat menggalakkan budaya memberi diperluaskan, sekali gus membantu golongan kurang berkemampuan.

“Saya percaya inisiatif Kerajaan Negeri berkongsi kekayaan ini selaras dengan gagasan #MajuBersama iaitu tidak meminggirkan sesiapa,” katanya ketika berucap selepas melakukan lawatan Ziarah Korban Surau Al-Hijrah, Kampung Sungai Tua, di sini, hari ini.

Sambutan Hari Raya Aidiladha di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua berlangsung meriah dengan disertai pelbagai lapisan masyarakat.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri DUN terbabit turut meluangkan masa meninjau sendiri upacara korban dilaksanakan.

Antara tempat yang dilawati ialah Surau Nurul Muttaqi, Apartmen Seri Cempaka; Surau Nurul Falah, Putri Laksamana; Surau Al Ehsan, Apartment Laksamana Jaya B, Surau Nurul Muttaqi, Apartment Cempaka, Surau Sururul Muttaqin, Kampung Boyan dan Surau Al-Hijrah Kampung Sungai Tua.

Sebelum itu, Amirudin turut berkesempatan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan rakyat di Masjid Negeri.


Pengarang :