Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
AGENDANASIONAL

IGU: SPRM kumpul maklum balas sedia garis panduan

PUTRAJAYA, 6 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) giat mengumpul maklum balas daripada sektor korporat berhubung arahan kerajaan yang mewajibkan penubuhan Unit Integriti dan Governans (IGU) di syarikat masing-masing.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, maklum balas itu penting dalam usaha kerajaan menyediakan garis panduan sebelum arahan penubuhan IGU dikuatkuasakan sempena pelaksanaan undang-undang liabiliti korprat dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beliau berkata, setiap syarikat mempunyai peraturan tersendiri dan atas faktor itu, garis panduan yang akan dikeluarkan perlu jelas supaya mudah untuk dilaksanakan.

“Syarikat ini perlu menetapkan langkah sewajarnya, jadi garis panduan perlu jelas. Kami kini dalam proses mendapatkan maklum balas bagi dibentangkan untuk pertimbangan pembuat dasar.

“Dalam hal ini, menteri berkaitan undang-undang akan membuat keputusan,” katanya pada sidang media selepas bertemu wakil daripada 32 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dalam program eksklusif bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, di sini hari ini.

Beliau berkata, selain mengumpul maklum balas, sesi seperti itu juga boleh mengurangkan kebimbangan sektor korporat berhubung arahan menubuhkan IGU dan pelaksanaan undang-undang liabiliti korporat yang mewajibkan syarikat menyelaraskan prosedur berkaitan langkah pencegahan rasuah selaras dengan penguatkuasaan Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018).

Latheefa berkata, penubuhan IGU akan membantu syarikat memastikan setiap langkah yang diambil mematuhi prosedur ditetapkan, bukannya untuk mengambil alih mana-mana peranan jabatan di dalam organisasi berkenaan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, GLC diberi tempoh selama dua tahun bermula Oktober lalu untuk menubuhkan IGU, yang antara lain bertujuan memantap serta memperkukuhkan integriti dan tadbir urus korporat, selaras dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rasuah.

Sementara itu, Latheefa berkata, daripada ‘bertimbun’ laporan atau aduan yang diterima setiap bulan melalui Pejabat Pesuruhjaya SPRM, hanya 30 peratus daripadanya berkaitan dengan rasuah.

Beliau berkata, secara purata pejabatnya menerima antara 30 hingga 40 aduan setiap hari yang dihantar melalui pelbagai platform seperti e-mel, surat dan khidmat pesanan ringkas, namun setelah ditapis, hanya sebahagian kecil berkaitan rasuah.

“Contohnya, daripada 100 aduan yang diterima, hanya 30 peratus berkenaan rasuah manakala selebihnya berkaitan tidak puas hati dengan pihak berkuasa tempatan, gangguan seksual, kes polis serta kalah kes di mahkamah,” katanya.

Pada masa sama, Latheefa berkata, pihaknya memandang serius gejala memberi ‘hadiah’ dalam kalangan sektor korporat bagi mendapatkan projek kerajaan.

Memetik laporan kajian World Bank Group pada 2015 yang menyatakan 51.4 peratus daripada firma pembuatan di Malaysia memberi hadiah untuk memperoleh projek, beliau berkata ia adalah satu daripada sebab mengapa kerajaan memperkenalkan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Latheefa berkata, pihaknya tidak mempunyai data untuk firma lain tetapi statistik berkenaan jelas menggambarkan keseriusan gejala rasuah yang memerlukan inisiatif tertentu diperkenal bagi menanganinya.

“Pelan itu mengandungi 115 inisiatif di mana SPRM merupakan pelaksana bagi majoriti inisiatif dan kita yakin dengan penguatkuasaan Seksyen 17A, pelan anti rasuah ini akan lebih mudah dilaksanakan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :