Negara bakal berdepan pencemaran udara atau jerebu, bermula hari ini. Foto SelangorKini
AGENDANASIONAL

Jerebu: MB saran kurangkan aktiviti luar

SHAH ALAM, 1 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyarankan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti luar ekoran keadaan cuaca yang tidak sihat ketika ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Amirudin juga mahu orang ramai menggunakan topeng muka apabila berada di luar rumah.

Beliau turut menasihatkan pesakit lelah supaya berhati-hati dalam keadaan jerebu ketika ini.

“Memandangkan musim jerebu menyebabkan keadaan cuaca yang tidak sihat, saya menyarankan orang ramai supaya dapat mengehadkan aktiviti luar (outdoor) dan menggunakan topeng muka (mask).

“Sentiasa mengawal keadaan kesihatan terutama mereka yang menghidap lelah,” katanya.

Kualiti udara di Johan Setia di Klang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat, iaitu pada bacaan 106 setakat 10.30 pagi tadi.

Menurut laman sesawang Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMs), sehingga waktu itu dipaparkan, sebanyak 64 stesen mencatatkan bacaan sederhana antara 51 hingga 100, manakala tiga stesyen lagi mencatatkan bacaan baik.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan negara bakal berdepan pencemaran udara atau jerebu, bermula hari ini.

Ia berkemungkinan berlaku ekoran kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.


Pengarang :