Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Keputusan subsidi petrol bersasar diumum dalam tempoh terdekat

KOTA KINABALU, 8 OGOS: Kerajaan akan mengumumkan keputusan pelaksanaan subsidi petrol bersasar yang dijanjikan kepada kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dalam masa terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, satu kertas bersama sudah dimuktamadkan kementeriannya dan Kementerian Kewangan untuk dibentangkan kepada jemaah menteri.

Katanya, kertas bersama itu dimuktamadkan dalam satu pertemuan yang dihadiri bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta pegawai kanan di dua kementerian berkenaan, semalam.

“Dalam masa terdekat ini, ia akan dibentang kepada jemaah menteri untuk diberi lampu hijau jika jemaah menteri berpuas hati dan jika tidak berpuas hati akan ada pembetulan.

“Jika jemaah menteri berpuas hati, kerajaan akan mengumumkan secara rasmi pelaksanaannya merangkumi seluruh negara dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Seminar Katakan Tidak Kepada Tipuan Bida anjuran Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.

Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus turut hadir pada seminar julung kali diadakan oleh suruhanjaya itu.

Saifuddin Nasution diminta mengulas Belanjawan 2019 yang dibentangkan Guan Eng pada November tahun lalu yang menyatakan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Melalui mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.

Berhubung penyalahgunaan Permit Kelulusan (AP) diberikan untuk mengimport kubis bulat yang menyebabkan harga sayur meningkat, Saifuddin Nasution berkata, laporan dapatan kajian pasaran sektor makanan dikendali MyCC itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri.

Katanya, ia akan disusuli dengan tindakan termasuk penambahbaikan mana-mana agensi dan kementerian dalam urusan import kubis bulat itu.

“Ia bukan satu pembentangan sahaja menerusi hasil dapatan kajian oleh MyCC yang mengambil masa sembilan bulan itu tetapi disusuli dengan tindakan,” katanya

-BERNAMA


Pengarang :