Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Lima negara ASEAN ikrar tingkat langkah cegah jerebu

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Lima negara ASEAN berikrar untuk berwaspada, memantau dan meningkatkan langkah pencegahan bagi meminimumkan sebarang kejadian jerebu rentas sempadan semasa cuaca panas dan kering di antara Ogos dan Oktober ini.

Negara itu ialah Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand,

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) dalam kenyataan berkata, kesepakatan itu dicapai dalam mesyuarat ke-21 Jawatankuasa Pemandu Menteri Sub-Serantau (MSC) Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan di Brunei Darussalam, Selasa lalu.

Katanya, kelima-lima negara juga bersetuju meningkatkan kerjasama menangani pencemaran jerebu merentas sempadan secara berkesan melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Jerebu Merentas Sempadan.

“MSC juga bersetuju meningkatkan koordinasi serantau melalui pelaksanaan projek kerjasama antarabangsa membabitkan program menangani jerebu rentas sempadan, pelaksanaan pengurusan hutan secara berkekalan dan konservasi kawasan tanah gambut,” katanya, di sini hari ni.

Selain itu Mestecc berkata, negara anggota MSC turut mengesahkan kesediaan mereka untuk memberi bantuan teknikal berupa peralatan dan sumber tenaga manusia apabila diperlukan negara ahli jika berlaku kebakaran hutan berskala besar yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Katanya, MSC juga mengulangi komitmen untuk mencapai objektif dan prinsip Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan bagi mencapai sasaran ‘ASEAN Tanpa Jerebu’ menjelang 2020, di samping meneruskan program pembangunan kapasiti dan latihan dalam kalangan negara anggota untuk menangani jerebu rentas sempadan.

Dalam pada itu, katanya mesyuarat itu juga membincangkan antaranya laporan keadaan cuaca semasa di rantau ASEAN.

“ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura melaporkan bahawa rantau ASEAN dijangka mengalami keadaan cuaca yang neutral tanpa El Nino atau La Nina pada Ogos hingga Oktober tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, selatan rantau ini dijangka mengalami kekurangan taburan hujan terutama di Malaysia, Singapura dan Sumatera, Indonesia dengan cuaca yang lebih panas dan kering bagi tempoh Ogos hingga Oktober 2019.

Selain itu, Mestecc berkata, kelima-lima negara MSC sudah membentangkan tindakan yang diambil dalam menangani kejadian kebakaran dan jerebu di negara masing-masing.

“Secara amnya, kebanyakan kejadian kebakaran di negara ahli MSC berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut ekoran cuaca panas dan kering yang melanda selatan rantau ASEAN,” katanya.

Di peringkat domestik, Mestecc berkata, Malaysia sudah melaksanakan segala usaha antaranya melalui pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan.

Pada mesyuarat itu, Malaysia diawakili oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

-BERNAMA


Pengarang :