AGENSISELANGOR

KUIS anjur Super Asnaf bantu pelajar

HULU LANGAT, 13 OGOS: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) melaksanakan program Super Asnaf bertujuan memberi motivasi kepada pelajar asnaf untuk lebih cemerlang.

Timbalan Rektor Pengurusan Korporatnya, Dr Zulkifli Abd Hamid berkata, program Bahagian Zakat, Wakaf dan Infaq KUIS dengan kerjasama konsultan Tip Top Synergy itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada peserta yang memperolehi keputusan dibawah 2.5 purata nilai gred kumulatif (CGPA) untuk mengenali potensi diri.

“Jika sentiasa leka dan mudah terjebak dengan dunia semasa maka kita akan merosakkan masa depan kita sebagai anak-anak asnaf yang gagal memanfaatkan ilmu yang dipelajari.

“Semua peserta juga perlu berhati-hati dalam memilih sahabat atau teman dan menggunakan strategi belajar yang efektif bagi merubah pencapaian akademik pada semester akan datang,” katanya di majlis perasmian program itu, baru-baru ini.

Pada masa sama, Dr Zulkifli berkata, program pertama kali yang diadakan selama tiga hari itu juga berjaya mencapai objektif apabila 83.3 peratus dari hasil soal selidik mencadangkan supaya ia terus dilaksanakan pada masa akan datang.

Antara pengisian program itu adalah Zoom Out Kuasa Fokus, Zoom In Potensi Diri, Zoom Heart dan Zoom Action dan juga aktiviti-aktiviti luar dewan seperti Explorace, Sukan Air dan Latihan Dalam Kumpulan.

 


Pengarang :