PBTSELANGOR

Lebih 500 sertai Kayuhan Santai Jalur Gemilang MPAJ

AMPANG, 28 OGOS: Seramai 530 peserta terdiri daripada masyarakat setempat termasuk peserta luar mengambil bahagian pada Program Kayuhan Santai Jalur Gemilang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Padang Perbandaran di sini, pada 25 Ogos lalu.

Lebih menarik, edisi ketujuh program kayuhan itu mendapat penyertaan terbanyak daripada Team Redhead yang mewakili anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) iaitu 84 orang.

Yang Dipertua MPAJ, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, sambutan diterima daripada peserta menunjukkan keprihatinan dan komitmen padu untuk bersama-sama menyemarakkan lagi semangat kesukanan serta kecintaan terhadap negara.

Katanya, beliau berbangga dengan penyertaan dan komitmen diberikan semua peserta termasuk rakan kerjasama dalam menjayakan program tahunan berkenaan.

“Kayuhan Santai Jalur Gemilang adalah salah satu aktiviti riadah yang menyumbang kepada bandar rendah karbon, justeru kita sentiasa komited dalam usaha mempergiat aktiviti sukan terutama sukan berbasikal.

“Dengan adanya aktiviti sebegini, budaya sukan dalam kalangan warga kota dapat dipupuk, sekali gus mampu merapatkan hubungan silaturrahim antara peserta kayuhan.

“Ia juga dapat melahirkan warga kota yang lebih sihat dan terbabit aktif dengan pelbagai acara dianjurkan, khususnya di pihak berkuasa tempatan ini,” katanya.

Pada masa sama, Abd Hamid berkata, pihaknya turut memohon maaf berikutan laluan berbasikal yang pada asalnya sepanjang 14.8kilometer (km) berubah kepada 9.4km atas nasihat Polis Trafik.

“Kita mengambil maklum keadaan jalan di kawasan Ampang yang penuh berliku dengan pembinaan laluan baharu jalan demi keselesaan kita pada masa akan datang,” katanya.

Lapan kategori hadiah berupa wang tunai RM100 ditawarkan pada program berkenaan antaranya pakaian tercantik mengikut tema iaitu lelaki, perempuan dan keluarga ceria serta basikal tercantik.

Sementara penyertaan kumpulan terbanyak, peserta otai dan merdeka menerima hadiah berbentuk buah bakul bernilai RM100.

Terdahulu, antara rakan kerjasama yang turut menjayakan program kayuhan terbabit adalah Balai Trafik, Polis Diraja Malaysia, Pusat Beli Belah Ampang Point, Nutrigen, Milo Nestle, Arissto Coffee, Kebun Komuniti AU2, Keramat dan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd.


Pengarang :