BERITA UTAMA

Malaysia sasar destinasi pilihan pelaburan berteknologi tinggi

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Malaysia menyasarkan untuk menjadi destinasi pilihan bagi pelaburan berteknologi tinggi melalui Industry4WRD, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata, kerajaan juga mahu Malaysia menjadi penyedia penyelesaian menyeluruh bagi teknologi canggih di rantau ini.

“Dengan pelaksanaan tepat, kerajaan yakin menjelang 2025, kita akan dapat mencapai produktiviti tenaga kerja yang lebih baik dan meningkatkan sumbangan pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Selain itu, kita juga dapat meningkatkan kapasiti inovasi dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya dalam ucapan pada pelancaran Smart Manufacturing Expo 2019 (SMEX 2019), di sini hari ini.

Kian Ming berkata kerajaan sudah menggariskan strategi dan perancangan tindakan Industri4WRD untuk menyokong transformasi sektor pembuatan.

Beliau berkata, dasar itu bertujuan menyediakan ekosistem holistik yang memudahkan transformasi digital melalui lima pemboleh strategik iaitu pembiayaan, infrastruktur, rangka kerja pengawalseliaan, kemahiran dan bakat serta teknologi.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan banyak negara dalam mengguna pakai dan memajukan pembuatan pintar.

“Manfaat pembuatan pintar mempunyai implikasi meluas kerana mereka berpotensi membuat pembuatan lebih aktif dan responsif, mengurangkan masa henti peralatan dan mencapai kecekapan operasi dan kecekapan kos yang lebih baik,” katanya.

SMEX 2019, yang berakhir pada 30 Ogos ini, mempamerkan inovasi dalam semua bidang pembuatan dan perdagangan dalam peralatan mesin dan kerja logam, robotik dan automasi industri.

-BERNAMA


Pengarang :