OLYMPUS DIGITAL CAMERA
AGENDANASIONAL

Masjid Putra lokasi perdana Malaysia #QuranHour

SHAH ALAM, 14 OGOS: Masjid Putra, Putrajaya yang menjadi lokasi perdana bagi penganjuran Malaysia #QuranHour 1440H/2019 pada 30 Ogos ini bakal bergema dengan alunan surah al-Kahfi, bermula 11 pagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Marhaini Yusoff berkata, surah al-Kahfi ayat 10 pertama dan 10 terakhir dipilih kerana sarat dengan panduan menghadapi zaman yang penuh cabaran.

Katanya, ia juga menceritakan kesatuan membentuk ummah berbudi dan penyayang dengan membawa pesan kemerdekaan daripada al-Quran dalam menangani dan melahirkan solusi menghadapi cabaran akhir zaman.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebagai penaung dan peneraju berperanan mengangkat program ini sebagai agenda nasional untuk mengajak orang ramai mendekati al-Quran sebagai panduan kehidupan

“Penganjuran kali ini juga istimewa kerana bacaan surah itu akan diperdengarkan oleh barisan qari yang menjadi johan peringkat antarabangsa,” katanya dalam Taklimat Sinergi Media Malaysia sempena program berkenaan, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengasas WUI Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Pada majlis berkenaan, Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf turut menyampaikan sumbangan “Daripada Ummah kepada Ummah” kepada Utusan Malaysia.

Marhaini berkata, terdapat beberapa kelainan yang dibawakan kali ini termasuk pemilihan lokasi perdana di Masjid Putra itu.

“Malaysia #QuranHour akan bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari pada Jumaat di masjid berkenaan, malah rakyat Malaysia di dalam dan luar negara turut mengadakan aktiviti berinteraksi pada hari dan waktu sama di tempat masing-masing.

“Terdapat juga sesi pengisian ini diikuti dengan Resolusi al-Kahfi, Pesan Kemerdekaan oleh tokoh dan diakhiri dengan doa untuk Malaysia,” katanya.

Selain Bernama, Utusan Malaysia dan Kumpula Media Karangkraf, media lain yang turut bersinergi bersama menjayakan program kempen membaca al-Quran secara serentak selama satu jam itu antaranya Kosmo!, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Astro, Kumpulan Media Prima dan TV AlHijrah.

-BERNAMA


Pengarang :