Amiruddin Shari bersama ahli penal pada sesi Dialog Bajet Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 27 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB sifatkan Selangor negeri ‘langkah bendul’, sentiasa di hadapan

SHAH ALAM, 27 OGOS: Selangor disifatkan sebagai negeri yang berani ‘melangkah bendul’ berikutan kerap mendahului Kerajaan Persekutuan dengan menjadi peneraju dalam pelbagai bidang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bagaimanapun berkata, ‘langkah bendul’ yang kebanyakan berlaku di era Barisan Nasional masih menguasai Putrajaya adalah suatu langkah positif demi kebaikan rakyat negeri termaju itu.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan Kerajaan Negeri berhadapan serangan politik dari pihak yang tidak senang dengan pencapaian demi pencapaian diraih.

“Selain hari tanpa plastik yang menyebabkan kita diserang setiap hari, kita juga peneraju dalam banyak bidang lain berbanding di Persekutuan dan negeri lain, terutamanya visi Gagasan Smart Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Dialog Bajet 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Amirudin berkata, walaupun diserang oleh golongan berkepentingan politik pada awalnya, namun kebanyakan idea sama akhirnya diadaptasi pihak terbabit mahupun sekutunya.

Beliau yakin birokrasi ditempuh Kerajaan Negeri sebelum ini tidak lagi berlaku berikutan perubahan lanskap politik negara.

Katanya, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan juga semakin erat dalam pelbagai bidang bagi memastikan kemajuan bersama.

“Kerajaan Negeri tekad meneruskan status Selangor sebagai negeri peneraju dalam pelbagai bidang walaupun menyedari pelbagai cabaran lain sedang menanti,” katanya.

Dalam adat Melayu, istilah langkah bendul merujuk kepada anak perempuan yang berkahwin terlebih dahulu berbanding saudara tuanya.


Pengarang :