Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan air laut turut bergelora. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Menteri mahu sistem amaran awal bencana dikemaskini

PADANG BESAR, 12 OGOS: Sistem pengesanan amaran awal bencana di negara ini perlu dikemas kini bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata sistem yang lebih pantas dan berkesan dalam mengesan bencana perlu bagi membolehkan pihak berkuasa membuat persediaan.

“Saya diberitahu amaran diberikan selepas kejadian (ribut) berlaku di Langkawi, selepas itu baru Perlis. Jadi sistem yang ada kena pantas dan cepat untuk kesan amaran bencana akan berlaku.

“Langkawi kena pada 8 malam adalah yang teruk terjejas. Sistem yang ada kalau boleh kesan dahulu, jadi kemungkinan risiko untuk lebih teruk itu dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah yang rosak akibat angin kencang dan hujan lebat yang melanda negeri ini Jumaat lepas (9 Ogos).

Terdahulu, Rina diberi Taklimat Khas Bencana Ribut oleh Setiausaha Kerajaan negeri Azman Mohd Yusof di Bilik Gerakan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Perlis, di sini.

Hujan lebat disusuli angin kencang pada Jumaat lepas, membadai beberapa negeri di utara Semenanjung melibatkan Pulau Pinang, Perlis dan Kedah, mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang, bekalan elektrik terputus, selain rumah dan kemudahan awam rosak.

Di Perlis lebih 500 rumah mengalami kerosakan.

Rina berkata semua lapan Tadika Kemas termasuk satu di Perlis serta 48 rumah di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah yang terjejas dalam kejadian itu telah diberi peruntukan segera untuk kerja membaik pulih.

-BERNAMA


Pengarang :