BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPK siap siaga fenomena air pasang besar awal pagi esok

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 31 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) sudah bersiap siaga menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka bermula awal pagi esok.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua jabatannya bersedia dari segi logistik dan tenaga kerja bagi menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang fenomena itu.

Katanya, ia termasuk pemantauan dan pembersihan saluran parit di seluruh kawasan terutama berisiko tinggi bagi memastikan kelancaran saliran air supaya tidak tersumbat.

“Skuad PANTAS akan sentiasa bersiap siaga dalam tempoh 24 jam dalam pemantauan di sekitar lokasi berisiko tinggi.

“Pemantauan ini turut dijalankan bersama agensi lain seperti Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam.

“Skuad ini juga akan bertindak selaku ‘first-responden’ dalam menyampaikan segala maklumat dan laporan berkaitan bencana yang berlaku,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamad Yasid berkata, sebanyak 11 kawasan di daerah itu berisiko terkesan akan fenomena air pasang besar antaranya Jalan Pandamaran, Taman Selat Damai, Pulau Ketam, Telok Gong dan Kampung Perepat.

“Justeru, MPK menasihatkan agar semua warga Klang terutama mereka yang tinggal berhampiran kawasan berisiko tinggi dapat mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa keselamatan.

“Penduduk juga diminta mengambil langkah persediaan sewajarnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Pada masa sama, sebanyak 10 pusat pemindahan turut dibuka di sekitar daerah Klang seperti di Dewan Ahmad Razali, Batu 4 Kapar; Dewan Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan Bandar Sultan Sulaiman

Terdahulu, Kerajaan Negeri mahu semua Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak berkuasa lain untuk menggerakkan operasi persediaan dalam menghadapi bencana.

Fenomena air pasang besar di daerah Klang diramalkan berketinggian sehingga 5.5 meter semasa air pasang di sebelah pagi, pada 1 September.


Pengarang :