– Foto Facebook Bernama Radio
AGENDANASIONAL

Kanak-kanak autisme rentas Selat Dinding sempena Hari Kebangsaan

LUMUT, 31 OGOS: Biarpun menghidap autisme, Nur Dhia Izz Ashfadina Muhammad Asrie, 10, berjaya menghabiskan renangan sejauh 10 kilometer merentasi Selat Dinding, di sini hari ini sempena Hari Kebangsaan.

Nur Dhia Izz Ashfadina yang dikenali sebagai Dhia berjaya menamatkan renangan yang bermula daripada Jeti Pangkor dan berakhir di Jeti Weldzone di Lumut dalam tempoh 3 jam 40.49 saat.

Acara Renang Kemerdekaan Merentasi Selat Dinding yang bermula pada pukul 9 pagi itu turut disertai sembilan lagi perenang cilik berumur antara sembilan dan 18 tahun serta 47 pegawai serta anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengiringi peserta cilik itu.

Dhia ketika ditemui berkata, beliau berasa teruja untuk menghabiskan renangan berkenaan biarpun terpaksa menghadapi rintangan ombak dan cuaca panas.

“Saya tidak takut malah berasa seronok kerana dapat berenang sejauh itu bersama-sama rakan-rakan yang lain pada Hari Kebangsaan, cuma penat sedikit sebab jauh.

“Ini adalah renangan paling jauh saya pernah buat, sebelum ini acara renang di Port Dickson hanya 500 meter sahaja, cuma pada Hari Kebangsaan ini saya mahu mencuba yang lebih hebat,” katanya ketika ditemui selepas tamat acara renang tersebut.

Acara renang anjuran Pangkalan TLDM Lumut itu turut mendapat kerjasama daripada Akademi Renang Nayli Saffiya, Kelab Renang Wan, Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Pusat Latihan Weldzone, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) dan beberapa syarikat swasta.

Seorang lagi peserta yang juga penghidap disleksia, Nayli Wafiy Abd Razak, 9, berkata beliau hampir putus asa pada pertengahan acara renang tersebut namun nasihat ibunya untuk berzikir setiap kali berasa penat menjadi pendorong kepadanya untuk meneruskan renangan.

“Saya suka berenang dan telah berenang sejak enam tahun. Cuma untuk kali ini, saya takut terkena obor-obor sebab ini pertama kali saya berenang sejauh 10 kilometer.

“Alhamdulillah, saya berjaya selesaikan renangan hasil titik peluh saya berlatih di kolam renang TLDM Lumut selama tiga jam, dua kali seminggu sejak tiga bulan yang lalu,” katanya yang berasal dari Tapah.

Sementara itu, Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, pihaknya bercadang untuk menganjurkan acara tersebut setiap tahun bermula tahun hadapan bersempena Hari Kebangsaan.

“Kita lihat kebanyakan kanak-kanak ini mempunyai minat serta kelebihan masing-masing di laut dan kita sebagai tuan rumah berasa gembira melihat mereka mampu menghabiskan renangan.

“Kita mahu jadikan acara ini sebagai acara tahunan di Lumut yang mana ia turut mempromosikan Lumut sebagai kawasan pelancongan sukan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :