Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin sedih, ucap takziah buat keluarga gadis Ireland

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: ​​​​​Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga kepada Nora Anne Quoirin yang ditemui mati semalam selepas dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lepas.

“Saya berasa sedih dengan perkembangan terkini kehilangan remaja Ireland, Nora Anne dari resort penginapan keluarganya, yang berakhir dengan penemuan mayatnya petang semalam.

“Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku dan ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang atas musibah yang menimpa,” katanya ringkas menerusi kenyataan di laman Facebook miliknya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta semua pihak yang terlibat dalam usaha pencarian termasuk pasukan sukarelawan.

Semalam, mayat wanita berkulit cerah ditemui pada pukul 1.57 tengah hari dan kemudiannya disahkan anggota keluarganya sebagai Nora Anne, remaja yang dilapor hilang dari sebuah resort, di Pantai, Seremban awal bulan ini.

Nora Anne, 15, bersama keluarganya tiba di Malaysia pada 3 Ogos bagi percutian selama dua minggu di sini dan remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh keluarganya dari bilik penginapan mereka pada pukul 8 pagi hari berikutnya.

– BERNAMA


Pengarang :