AGENDANASIONAL

Niaga hadapan emas dijangka tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka terus meningkat pada minggu depan berikutan permintaan lebih baik terhadap aset selamat itu susulan kesuraman prospek pemulihan ekonomi global.

Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Leo Goh berkata, ekuiti global pada masa ini kekurangan pemangkin bagi memacu peningkatannya dan ini sebaliknya dilihat sebagai senario baik terhadap sentimen emas pada minggu depan.

“Pasaran emas dijangka meningkat untuk minggu ketiga, didorong oleh ketegangan perang dagangan Amerika Syarikat-China dan kebimbangan mengenai pertumbuhan global,” katanya kepada Bernama.

Pada asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak Ogos 2019 meningkat 50 mata kepada RM200 segram, September 2019 dan Oktober 2019 menokok 146 mata kepada RM200.40 dan RM201.40 segram manakala November 2019 naik 99 mata kepada RM199 .50 segram.

Jumlah dagangan mingguan sebanyak lapan lot bernilai RM161,340 berbanding 38 lot bernilai RM757,970 pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 113 kontrak daripada 118 kontrak sebelumnya.

Pasaran ditutup pada Isnin lepas bersempena cuti Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada Ahad.

– BERNAMA


Pengarang :