Penyampaian cek replika disaksikan Haniza Talha ketika Majlis Penyerahan Zakat kepada Asnaf PPR Lembah Subang 2 bersama PLUS di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya pada 17 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

PLUS disaran wujud program pemberdayaan untuk wanita B40

SUBANG JAYA, 17 OGOS: Penyedia perkhidmatan lebuh raya terbesar negara ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dicadang mewujudkan satu program pemberdayaan khusus kepada wanita golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) pada masa hadapan.

EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, cadangan Kerajaan Negeri itu wajar diketengahkan bagi memberi peluang kepada golongan terbabit menjana pendapatan dengan membantu daripada segi kegiatan ekonomi.

“Saya difahamkan memang ada program khas diwujudkan untuk usahawan mikro wanita bagi membolehkan mereka membuka kedai runcit di Pusat Hentian Rawat Dan Rehat (R&R) PLUS.

“Ini sangat menarik kerana ia akan membantu golongan B40 untuk menambah pendapatan bagi menyara keluarga, sekali gus mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada program Sumbangan Zakat PLUS Bersama Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di Dewan PPR itu di sini, hari ini.

Haniza Talha berucap ketika Majlis Penyerahan Zakat kepada Asnaf PPR Lembah Subang 2 bersama PLUS di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya pada 17 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

Turut hadir, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Pada masa sama, Haniza turut menggesa syarikat swasta mahupun badan korporat lain supaya turut berganding bahu dengan kerajaan mahupun komuniti setempat dalam mewujudkan lebih banyak program kepada golongan memerlukan.

Katanya, program bersesuaian yang mampu meningkatkan taraf ekonomi golongan terbabit perlu diperbanyakkan demi memacu pembangunan seimbang dan mampan.

“Saya mengalu-alukan dan menunggu semua badan korporat lain yang ada keuntungan daripada pembayar cukai misalnya untuk menjalankan program komuniti seperti ini kerana ia lebih bermakna kepada mereka (usahawan B40),” katanya.


Pengarang :