BERITA UTAMA

PAKATAN perlu fokus lima perkara utama

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN ) perlu fokus kepada lima perkara yang menjadi isu utama dalam negara, jika parti pemerintah itu mahu mengekalkan kedudukannya sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Ketua Dasar dan Strategi BERSATU, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, lima perkara iaitu kos sara hidup, kualiti kehidupan, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik dan kos penjagaan kesihatan dilihat masih tidak ditangani dengan baik seperti yang diharapkan rakyat setakat ini.

“Lima perkara perlu ditangani. Misalnya, kos sara hidup hanya sedikit bertambah baik, ini antara janji besar yang kita buat dalam manifesto. Bagi pengundi muda, mereka mahukan pekerjaan, tetapi jumlah pengangguran dalam kalangan belia di tahap paling tinggi sekarang. Ini fakta.

“Ini adalah lima teras, jika kerajaan PAKATAN ingin menjadi kerajaan seterusnya, mereka perlu tangani perkara ini,” katanya ketika menjadi anggota panel seminar bertajuk “Apakah Pilihan Raya Kecil Meramalkan Keputusan PRU15?” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini semalam.

Turut menjadi anggota panel adalah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Seminar separuh hari itu menyediakan landasan untuk penyelidik mentafsir keputusan pilihan raya kecil (PRK) pasca PRU14 termasuk peranan parti politik, sumbangan media dan implikasi terhadap masa hadapan politik negara.

Dalam pada itu, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO berpendapat, keputusan PRK sebelum ini bukan penentu kemenangan mahupun kekalahan sesebuah parti politik, sebaliknya ia akan membentuk hala tuju PRU akan datang.

-BERNAMA


Pengarang :