BERITA UTAMA

PAKATAN: Tolak retorik rosak perpaduan

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Rakyat tanpa mengira pangkat dan latar belakang digesa mengetepikan retorik yang merosakkan perpaduan dan menyanggah polemik yang berniat membinasakan negara, menurut kenyataan bersama pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN).

Kenyataan itu turut meminta rakyat menolak politik yang hanya mementingkan kelompok kecil dan bukannya kemaslahatan umum.

“Pelbagai isu menjadi perbualan rakyat mutakhir ini antaranya cabaran ekonomi, persoalan persepsi kaum atau agama, pendidikan khat serta isu pembangunan dengan rakyat lebih mudah menyuarakan pandangan melalui media sosial mahupun media arus perdana.

“Malaysia adalah negara majmuk yang amat memerlukan keharmonian dan kerukunan hidup antara satu sama lain, dengan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya dan ia mesti dipertahankan serta dihormati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Kenyataan itu turut menggesa rakyat untuk bermuhasabah terhadap kejayaan yang dicapai bersama dan cabaran yang masih perlu ditempuhi demi membina sebuah negara yang bersih, adil serta berjaya.

“Apa yang rakyat Malaysia nikmati pada hari ini sudah pasti akan dapat terus dinikmati bila masa rakyat terus bersatu padu, mengukuh muafakat, serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan menegak negara hukum.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyahut seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melipatgandakan usaha bagi memastikan negara yang tercinta ini akan terus kekal sebagai sebuah negara yang makmur, dihormati dan disegani semua,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :