BUDAYARENCANA

Pertemuan ahli falsafah dan hantu

Oleh Ani Aziz

Apa yang menarik tentang hidup ini? Dia mengelamun tenggelam dalam persoalan di meja kopinya. Keinginan? Matlamat? Hukum alam? Kebebasan manusia dalam kekangan undang-undang atau kebebasan manusia tanpa undang-undang.

Dia menghirup kopinya. Di luar sudah lewat malam. Tetapi baginya yang hilang penglihatan, terang dan gelap tak ada beza. Cuma malam lebih sunyi, lebih tenang untuk menghabiskan sepanjang malam di kerusinya sambil menikmati kopi. Tanpa gangguan bunyi mindanya mengembara.

Matanya buta akibat gangguan retina selama bertahun-tahun. Glaukoma. Daya penglihatannya lemah secara perlahan-lahan dan akhirnya dia bangun dalam kegelapan. Ia telah hilang nikmat membaca. Pada tahun-tahun mudanya, dia masih ingat bagaimana obsesnya terhadap membaca. Kini, dia hanya larut dalam ingatan tentang idea-idea yang telah dibacanya. Sesekali, dia dijemput universiti-universiti sebagai pensyarah tamu dalam subjek falsafah.

Pekerjaan yang melesukan. Bersyarah di hadapan sekumpulan anak muda yang tidak tahu fungsi pemikiran dan falsafah membuatkannya semakin tidak bermotivasi dengan hidup. Idea-idea falsafah dirampas oleh keghairahan individualistik dan materialistik. Apa yang penting lagi dengan membina masyarakat utopia. Semuanya hanyalah idea klasik masyarakat kuno yang daif.

Celaka Adam Smith. Dia menyumpah dalam hatinya.
Dia tercium bau busuk secara tiba-tiba. Bau bangkai dari arah dapur. Dia berjalan teraba-raba ke arah dapur. Fikirnya ada haiwan mati. Bau yang terlalu busuk sehingga rasa mencucuk kepalanya. Dia rasa jijik.
Semasa dia sampai di dapur, tiba-tiba bunyi pintu tertutup dengan kuat pula dari dari arah biliknya. Seperti ada angin kuat menerjah ke dalam rumahnya.

Dia kembali ke ruang tamu. Radio terpasang sendirinya. Lagu Seri Dewi Malam nyanyian Sharifah Aini. Lagu yang lama tidak didengarinya. Mungkin berbelas-belas tahun lamanya. Dia masih ingat betapa ibunya sukakan lagu ini.
Kejadian-kejadian aneh dalam rumahnya buatkan dia berfikir keras untuk mewaraskan dirinya kembali. Seseorang mungkin di dalam rumahnya; tetamu atau penceroboh? Dia bersiap siaga. Ambil pisau pemotong di dapur. Dia akan tikam semberono jika ada yang menyergahnya.

Dia berdiri tegak dengan pisau di tangan di ruang tamu. Kegelapan menyelubunginya. Untuk beberapa detik keadaan rumahnya hening. Perlahan-lahan, dia mula rasa ada tenaga yang muncul dalam kegelapan. Hantu? Roh jahat? Monster? Mayat hidup?

“Siapa kau?” bertanya. Pertanyaannya seperti melanggar tembok. Tiada jawapan.

Tapi dia dapat rasa hembusan nafas yang perlahan dan berdenyut.

“Aku tahu kau di sana” Katanya lagi.

“Nadia”, suara menyahut dari sebuah ruang paling kelam di rumahnya. Dari arah cermin meja.

“Apa yang kau buat berada di sini? Tanyanya kembali. Suaranya berubah nada mendatar.

“Tidak tahu. Dalam satu perjalanan dimensi metafizik.

Aku tiba-tiba berada di sini. Di rumah kau. Seorang lelaki dewasa yang buta. Mungkin takdir”

Nadia menghampirinya. Berpusing mengelilingnya. Dia dapat merasakan, dan cuba gapai. Tangannya menembusi udara.

“Takdir? Ketentuan? Seseorang bertemu sama ada didorong oleh sebab, atau sebab yang menemukan seseorang. Bagaimana kau berada di sini?”

“Aku sedang tidur di asramaku. Aku bermimpi. Mimpi telah membawaku kesini” Kata Nadia.

“Dalam mimpi dan membawa kau ke rumahku. Id yang terlepas dari dimensi masa? Sebuah jiwa dari alam surreal bertemu seseorang di dunia realiti. Ia agak membingungkan untukku”

Dia kembali duduk di kerusinya. Menghabiskan sisa-sisa kopi. Kemunculan; apa katanama yang perlu dirujuknya, Id? Spiritual? Roh? Entiti? Atau boleh nyatakan, hantu? Menganggu fikirannya. Dia terasa seperti berada di dalam kepala Sigmund Freud. Seseorang datang (muncul?) di rumahnya, dan mendakwa merentasi mimpi untuk bertemunya.

“Jadi apa yang aku boleh lakukan untuk kau. Aku betul-betul maksudkan ini. Kedatangan ini menganggu emosiku. Ia fenomena alam yang tidak bermoral. Songsang. Aku tidak pernah tahu atau baca dari mana-mana kejadian seperti ini. Apa yang patut aku lakukan sekarang. Adakah aku patut takut dengan kau?”

“Saya harap tuan tidak terlalu risau. Akhir-akhir ini saya resah. Jiwa saya tertekan. Mungkin jiwa terlepas semasa saya tidur, ketika saya tidak dapat mengawal badan saya.” Katanya lagi, “Ibu saya di kampung sedang sakit. Bapa saya perlukan wang untuk mendapatkan rawatan untuknya. Abang saya yang sering membantu keluarga pula kemalangan di tempat kerjanya. Tangannya termasuk di dalam mesin. Dia cedera parah dan sekarang tidak dapat lagi bekerja”

Dia dapat rasakan entiti tersebut berjalan ke arah tingkap. Berdiri dan sambil memerhatikannya. Dia hanya diam. Kepalanya berfikir ligat. Krisis ekonomi. Ketidakseimbangan hidup. Material dan bukan material. Bebanan hidup yang buatkan jiwa wanita ini tidak sihat. Resah di dalam tidurnya.

Adakah ketika tidur, rohnya juga merayau? Dia tertanya-tanya sendirian. Mencari seseorang untuk melepaskan perasaan. Tetapi apa pula yang menganggunya? Kesunyian? Kehampaan? Dilema seksualiti? Dia merenung ke dalam fikirannya. Roh-roh sakit ini bergentayangan di udara ketika malam larut. Bertembung dan berpisah antara satu sama lain.
Dia menghela nafas. Ada jarak antara dirinya dan Nadia.
“Panta Rei.” Katanya. Segalanya mengalir kata Heraclitus. Seperti jampi. Roh wanita itu hilang semasa kalimat itu diucapkan.

Dia membatu di kerusinya. Segala ruang dunia terasa seperti ditarik ke dalam pusat fikirannya. Dia mula rasa dalam kegelapan mutlak. Badannya melayang jauh ke dalam dasar kegelapan.

Dia terjaga. Seperti tertidur dalam seribu tahun cahaya. Cahaya matahari mengigitnya. Radio masih terpasang. Siaran berita pagi. Seorang wanita pelajar universiti dijumpai mati akibat lebihan pil tidur di katil asrama. Dia termenung seketika. Nama pelajar yang membunuh diri itu adalah Nadia. Hatinya sebal. Dia mencapai tongkatnya. Berjalan teraba-raba menuju ke tandasnya.


Pengarang :