Zulfadhli (dua dari kiri) dan Zulhazmi Kasim bersama pasangan masing-masing, Ermeeza Esa (kiri) dan Siti Noor Syariza Yahya (kanan) selepas Program “Aqdun Mubarak 2019” Zon Petaling, Gombak, Hulu Selangor anjuran JAIS di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati Gombak pada 31 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pasangan kembar penyeri Aqdun Mubarak 2019

GOMBAK, 31 OGOS: Program Aqdun Mubarak Zon 1 berlangsung di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati di sini, diserikan dengan penyertaan pasangan kembar, Zulfadhli dan Zulhazmi Kasim, 38.

Mereka berdua adalah antara 35 pasangan pengantin yang menyertai majlis pernikahan perdana dengan hanya membayar RM1,000.

Lebih menggembirakan, Zulfadhli yang memilih Ermeeza Esa, 39, turut memenangi hadiah cabutan bertuah berbentuk pakej umrah tajaan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.

Ditemui SelangorKini, Zulfadhli berkata, beliau bersama adik kembarnya memang merancang untuk mendirikan rumah tangga bersama-sama.

“Syukur kepada Allah kerana memakbulkan impian saya dan adik yang memilih Siti Noor Syariza Yahya, 32, sebagai isteri.

“Rezeki saya menang pakej umrah dan Insya-Allah akan membawa isteri tercinta ke Tanah Suci bersama-sama nanti,” katanya.

Zulfadhli Kasim bersama pakej umrah dimenangi pada Program “Aqdun Mubarak 2019” Zon Petaling, Gombak, Hulu Selangor anjuran JAIS di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati Gombak pada 31 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau yang berasal dari Ipoh, Perak berkata, program dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah inisiatif yang baik untuk memudahkan pasangan kurang berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya menyambut baik program ini kerana dengan pembayaran RM1,000, pasangan boleh bernikah serta merangkumi majlis kenduri bersama keluarga.

“Ia detik manis buat kami, kebetulan jatuh pada tarikh sama bersempena sambutan kemerdekaan kali ke-62,” katanya.


Pengarang :