BERITA UTAMASELANGOR

MB: Bukan nafi hak, fikir generasi akan datang

SHAH ALAM, 31 OGOS: Kerajaan Negeri tidak menafikan hak rakyat sebaliknya memikirkan kesan jangka panjang buat generasi pada masa akan datang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, adalah tidak bertanggungjawab untuk pentadbiran Kerajaan Negeri menghabiskan semua hasil semata-mata untuk rakyat pada waktu ini.

Malah, katanya, lebih tidak bertanggungjawab sekiranya rakyat yang sama masih mendapat faedah sama walaupun mereka mungkin tidak layak lagi untuk menerimanya.

“Dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, beberapa bantuan sebelum ini bertindih dapat diselaraskan supaya penerima yang benar layak mendapat manfaat dalam jumlah sepadan dengan keadaannya. Tiada terlebih mahupun terkurang; setiap orang mendapat secukupnya.

“Oleh itu, penting untuk kita gariskan di sini bahawa pentadbiran ini bukan mahu menafikan hasil negeri untuk rakyat namun yang kita mahukan adalah bantuan bersasar dan terarah, bukan sebentuk kelambu besar bantuan yang membantu sesiapa sahaja tanpa mengira latar sosioekonominya,” katanya dalam kenyataan Perutusan Merdeka, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, sudah pasti rakyat Selangor terkesan dengan penyelarasan semula itu namun beliau meminta untuk setiap orang berkorban kerana peruntukan bukan dihapus sebaliknya dialihkan kepada mereka lebih berhak.

“Tiada kemerdekaan tanpa pengorbanan. Tiada pengorbanan tanpa perjuangan. Tiada perjuangan tanpa keberanian.

“Pengorbanan anda bermakna orang lain yang lebih memerlukan mendapat lebihan manfaat daripada hasil negeri. Oleh kerana pengorbanan kita pada hari ini, anak cucu kita generasi mendatang bakal mendapat keselesaannya,” katanya.

Beliau berkata, kestabilan dan kemakmuran dinikmati hari ini adalah komitmen anak nusa dan bangsa yang cintakan kedamaian.

“Justeru, marilah kita menghayati konsep pengorbanan sempena Hari Kemerdekaan ke-62 dan semoga kita dapat mengubah Malaysia menjadi lebih baik,” katanya.


Pengarang :