AGENDA GLOBAL

Penduduk tunjuk perasaan sokong banduan Palestin mogok lapar

GAZA, 27 OGOS: Berpuluh-puluh penduduk Palestin di Gaza mengadakan tunjuk perasaan pada lewat Isnin sebagai tanda sokongan kepada tahanan yang melancarkan mogok lapar dan bagi menggesa pentadbiran Israel menangani keadaan di penjara, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Tunjuk perasaan itu dianjurkan pergerakan Jihad Islam serta Persatuan Banduan dan Para Syahid Baitulmaqdis Muchetul.

Penunjuk perasaan mendoakan kesejahteraan banduan dan berharap keadaan mereka akan bertambah baik.

Yasir Yizir, ketua persatuan itu memberitahu Anadolu bahawa tujuan tunjuk perasaan diadakan ialah untuk menyokong banduan Palestin yang melancarkan mogok lapar.

Kelab Banduan Palestin baru-baru ini mengumumkan bahawa lapan tahanan telah memulakan mogok lapar sebagai membantah keadaan penjara dan dasar Israel berkaitan penahanan pentadbiran.

Seorang penduduk biasa Palestin boleh dipenjarakan sehingga enam bulan mengikut dasar itu.

Tempoh penahanan boleh dilanjutkan sehingga lima tahun tanpa alasan perundangan.

Muak dengan amalan-amalan yang dilakukan secara haram oleh Israel, banduan Palestin sering kali melancarkan mogok lapar sebagai protes dan menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap penderitaan mereka.

– BERNAMA


Pengarang :