AGENDANASIONAL

Penganugerahan darjah, pingat Pahang lebih tegas

KUANTAN, 18 OGOS: Kerajaan negeri Pahang hari ini, mengisytiharkan beberapa pembaharuan dalam tatacara penganugerahan pingat dan darjah kebesaran negeri Pahang, berkuat kuasa 1 Ogos lepas.

Pembaharuan itu memperlihatkan ketegasan dalam pengurniaan darjah dan pingat menerusi penubuhan Jawatankuasa Penilaian bagi menilai kelayakan penerima dan Jawatankuasa Siasatan untuk menyiasat salah laku penerima.

Syarat had usia juga diwujudkan, yang mana tiada individu di bawah 40 tahun boleh dicalonkan bagi Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran ‘Datuk’ dan ke atas, melainkan pencalonan oleh Raja Pemerintah.

“Kerajaan negeri berpandangan pengisytiharan ini akan memberikan jaminan integriti dan tadbir urus tatacara penilaian penerima darjah kebesaran negeri Pahang yang tinggi,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan kerajaan negeri di sini, hari ini.

Kenyataan itu menyebut pencalonan individu untuk penganugerahan itu hanya boleh dibuat Raja Pemerintah, Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar, Ketua Menteri atau Setiausaha Kerajaan Negeri atau pemimpin masyarakat atau industri yang diiktiraf.

Setiap pencalonan itu, akan melalui Jawatankuasa Penilaian yang terdiri daripada Menteri Besar selaku pengerusi dan barisan pentadbiran Pahang iaitu Setiausaha Kerajaan negeri, Penasihat Undang-undang, Pegawai Kewangan dan Setiausaha Jumaah Pangkuan Diraja.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Ketua Polis Pahang, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Pengarah Tanah dan Galian negeri dan mana-mana individu yang dilantik Pengerusi dengan persetujuan Raja Pemerintah.

Pembaharuan itu juga melibatkan siasatan serta-merta perlu dibuat terhadap penerima darjah kebesaran yang dikaitkan dengan salah laku, ketidakjujuran, kekurangan integriti atau perkara yang mencemarkan nama baik penerima.

Ini melibatkan jika perkara itu dibawa ke pengetahuan Raja Pemerintah, Menteri Besar, Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Ahli Jawatankuasa Penilaian atau Kerajaan Negeri serta yang dilaporkan di media, walaupun tiada laporan rasmi dibuat ke Jawatankuasa Penilaian.

“Jawatankuasa Penilaian akan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada tiga orang daripada Ahli Jawatankuasa Penilaian untuk menyiasat salah laku yang dilaporkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah keputusan Raja Pemerintah adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah atau tribunal selain tiada tindakan guaman, pendakwaan atau prosiding boleh dimulakan kepada pihak yang terlibat dalam Jawatankuasa Penilaian dan Jawatankuasa Siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :