BERITA UTAMA

PM: Pelabur, peniaga perlu bantu capai status negara maju 2025

HANOI, 27 OGOS: Pelabur dan peniaga Malaysia di luar negara digesa memainkan peranan membantu kerajaan dalam mencapai hasrat menjadikan Malaysia berstatus negara maju menjelang 2025.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau gembira melihat ramai rakyat Malaysia melabur dan menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang di serata dunia.

“Ini perkara yang baik. Kita mahukan Malaysia membantu ekonomi negara bersahabat ini. Selain itu, ia dapat meningkatkan ekonomi Malaysia apabila kita boleh eksport dan import barangan dari negara berkenaan.

“Kita tersasar (Wawasan) 2020, mungkin 2025. Ini bermakna, semua ahli perniagaan perlu banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Malaysia,” katanya pada sesi dialog dan majlis malam diaspora Malaysia di sini malam tadi.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Malaysia ke Vietnam, Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa turut hadir bersama kira-kira 200 rakyat Malaysia di Vietnam yang kebanyakannya komuniti peniaga dan pelabur.

Dr Mahathir tiba di Hanoi semalam untuk lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam atas jemputan Perdana Menteri, Nguyen Xuan Phuc.

Sementara itu, merujuk kepada kehadiran para pelabur dari bangsa Arab ke dalam negara, beliau berkata, Malaysia mengalu-alukan kehadiran mereka khususnya dalam bidang hartanah.

“Ada banyak bidang untuk mereka ceburi di Malaysia. Mereka mempunyai banyak kepentingan di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang “amat bertuah” kerana bebas daripada bencana alam, masalah dalaman mahupun konflik.

Selain itu, beliau berkata, tiada penghijarahan beramai-ramai di Malaysia.

“Kita adalah sebuah negara yang berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya. Di sebalik perbezaan, kita dapat hidup bersama aman damai.

“Kemungkinan ada yang berhijrah, namun bilangannya tidak ramai dan mereka (rakyat Malaysia) masih mengekalkan passport Malaysia kerana mahu balik suatu hari nanti,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :