Tengku Amir Shah (depan) mencemar duli melakukan kayuhan bersama peserta pertandingan Shah Alam International Enduride 2019 anjuran MBSA di Aeon Big Bukit Rimau Kota Kemuning pada 18 Ogos 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

RMS sertai International Enduride saingi peserta 12 negara

SHAH ALAM, 18 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi membuktikan kemampuannya berbasikal apabila berjaya menamatkan kayuhan sejauh 155 kilometer dalam acara ‘Shah Alam International Enduride (Endurance Ride) 2019′.

Pelepasan kayuhan dibuat Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim di AEON Big Bukit Rimau di sini, hari ini.

Haris berkata, acara membabitkan pelbagai kategori itu berjaya menarik penyertaan peserta 12 negara, antaranya Indonesia, Ukraine, United Kingdom, Switzerland dan Korea Selatan.

“Kira-kira 1,400 peserta mengambil bahagian dalam penganjuran kali keenam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan tujuan memperkenalkan bandar raya ini dan kita jangka peserta akan melihat sebahagian kawasan di Shah Alam, Kuala Langat dan Sepang.

“Kita bangga kerana acara ini berjaya menarik begitu ramai peserta dalam dan luar negara seperti Singapura, Thailand dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media pada acara terbabit.

Tengku Amir Shah diiringi Dato’ Haris Kasim, berkenan menyempurnakan pelepasan peserta Shah Alam International Enduride 2019 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertempat di Aeon Big Bukit Rimau Kota Kemuning pada 18 Ogos 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

 

Haris berkata, kayuhan itu menyediakan beberapa kategori di bawah dua kategori utama iaitu kayuhan perlumbaan jalanan dan kayuhan santai.

Katanya, acara tahunan anjuran MBSA itu akan diperluaskan lagi pada masa akan datang dengan menjemput lebih ramai peserta luar negara lain.

Kategori dipertandingkan bagi acara perlumbaan jalanan membabitkan Lelaki Junior iaitu berumur bawah 19 tahun, Lelaki Terbuka (20 hingga 34 tahun), Lelaki Senior Master (40 tahun ke atas) dan Wanita Terbuka.

Manakala bagi acara kayuhan santai pula, Lelaki Junior (bawah 19 tahun), Lelaki Terbuka (20 hingga 34 tahun), Lelaki Master (35 hingga 45 tahun), Lelaki Senior Master (46 tahun ke atas) dan Wanita Terbuka.


Pengarang :