Amirudin Shari (tengah) mengibar bendera Malaysia bersama wakil Jabatan Penerangan dan peserta kembara merdeka dalam Majlis Makan Malam Kembara Merdeka di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Shah Alam pada 22 Ogos 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor tentang tindakan perlekeh Jalur Gemilang

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kerajaan Negeri tegas menentang perbuatan memperlekeh dan merendah-rendahkan lambang penyatuan negara iaitu Jalur Gemilang demi kepentingan sempit kelompok tertentu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, golongan terbabit memiliki sikap dan pendirian tidak jelas dalam menjiwai semangat sebenar sebagai warganegara Malaysia yang merdeka serta berdaulat.

Katanya, kumpulan berkaitan itu adalah mereka yang cuba merosakkan permuafakatan dalam negara yang terjalin sekian lama.

“Walau apa pun hujah diperkatakan, kita tidak boleh berkompromi, bertolak ansur dengan makna kebebasan dan kemerdekaan tanah air, negeri dan negara yang kita cintai ini.

“Sudah pasti lambang kepada kemerdekaan, kejayaan, wilayah, lokaliti, negeri atau negara adalah bendera yang menjadi simbol penyatuan kepada seluruh rakyat yang bernaung di atas satu bumi merdeka kita namakan Malaysia hari ini.

“Biar apapun tohmahan dilontarkan dengan analisa baharu, termasuk ada unsur memperlekehkan Jalur Gemilang yang kita usung lebih 60 tahun, sebenarnya inilah lambang dan aset sangat bernilai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Pelancaran Merdeka@Komuniti Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di sini, malam tadi.

Amirudin Shari (tengah) bersama peserta kembara merdeka dalam Majlis Makan Malam Kembara Merdeka di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Shah Alam pada 22 Ogos 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata, Jalur Gemilang harus dihormati dan diletakkan di tempat serta kedudukan sewajarnya.

Katanya, ia bukan sekadar selembar kain mempunyai empat warna iaitu merah, putih, biru dan kuning semata-mata tetapi menjadi kebanggaan negara dan rakyat.

“Kalau kita mewakili Sukan Olimpik, bendera inilah yang ingin kita pancak atau kibarkan setelah mencatat kejayaan, kalau sampai ke puncak tertinggi dunia atau Asia, inilah juga lambang ingin kita tonojolkan mewakili lebih 30 juta rakyat Malaysia di atas kebanggaan dan pencapaian kita.

“Lambang ini digunakan apabila kita merentasi sempadan di tempat lain, kita ada lambang sebagai tempat yang dinamakan tanah air diwarisi, kita mempunyai negara dan kerakyatan iaitu Malaysia serta simbolnya Jalur Gemilang yang kita cintai,” katanya.

Sementara itu, Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang anjuran Jabatan Penerangan akan meneruskan perjalanannya membabitkan 62 perhentian.

Konvoi bermula pada 1 hingga 31 Ogos ini akan melalui dan singgah di 62 perhentian seluruh negara.


Pengarang :